PUTRAJAYA: Kerajaan membuktikan keberanian politik melaksanakan penyasaran subsidi meskipun berdepan tekanan ekonomi global, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas Perdana Menteri, langkah itu penting bagi membendung ketirisan dan memastikan wang negara dimanfaatkan untuk rakyat.
Beliau berkata penyasaran subsidi antara reformasi ekonomi paling mencabar kerana memerlukan tekad politik yang kuat, sedangkan kebocoran dan pembaziran subsidi menyebabkan puluhan bilion ringgit lesap setiap tahun.
“Semua pihak perlu mempertahankannya kerana ia mesti dilaksanakan.
“Ketirisan, pembaziran dan kebocoran terlalu banyak sehingga puluhan bilion ringgit lesap, tetapi tiada siapa yang sanggup dan berani mengambil tindakan,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan bersama warga kementerian lain di sini, pada Isnin.
Berucap lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan usaha reformasi ekonomi yang dilaksanakan kerajaan sejak empat tahun lepas telah membuahkan hasil termasuk melonjakkan ekonomi negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Ujarnya, pertumbuhan ekonomi mencapai enam peratus pada suku kedua 2026, selain pengangguran menunjukkan penurunan kepada 2.9 peratus serta inflasi terkawal pada kadar 1.9 peratus.
"Sebab itu negara turut berada di kedudukan kelima dalam IMD World Competitiveness Ranking dan itu masih baik... (Selain itu), ringgit masih lagi terbaik di Asia.
“Saya yakin bagi kita dua hingga tiga tahun ini, kita boleh melonjakkan kekuatan ekonomi, keselesaan rakyat jauh lebih baik daripada yang kita unjurkan,” kata beliau.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menambah kerajaan turut melaksanakan reformasi melalui Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) dan Akta Perkhidmatan Parlimen bagi memperkukuh kedudukan fiskal serta tatakelola negara.