KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara tidak menyediakan sebarang garis panduan untuk jabatan dan agensi kerajaan mengenai aktiviti yang melibatkan unsur keagamaan.

Namun, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kementerian telah mengambil pendekatan melalui pelaksanaan program (programme based) untuk merapatkan jurang sosial antara rakyat Malaysia sekali gus meraikan kepelbagaian budaya, adat, perayaan dan warisan.

Bagi tahun 2025, beliau berkata, Kementerian Perpaduan Negara telah mengangkat konsep negara bangsa dan tema harmoni dalam kepelbagaian sebagai fokus utama.

"Hala tuju tahun ini direncanakan melalui pelaksanaan empat ikhtiar utama iaitu Ekosistem Perpaduan, Inisiatif Harmoni MADANI, Eksplorasi Rukun Negara dan Komuniti Sosiobudaya.

“Inisiatif Harmoni MADANI diperkenalkan bagi meningkatkan kefahaman mengenai kepelbagaian agama, budaya dan adat resam sekaligus memperkukuhkan hubungan kebersamaan dan keharmonian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali, yang mahu mengetahui sekiranya kementerian mempunyai garis panduan untuk jabatan dan agensi mengenai aktiviti yang melibatkan unsur keagamaan.

Katanya lagi, sekiranya isu itu tidak diurus dengan baik, ia boleh mencetuskan ketegangan antara kaum kerana Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian.

Dalam pada itu Aaron berkata, Malaysia mempunyai masyarakat yang menganut pelbagai agama dan kepercayaan.

Keunikan ini, jelas beliau lagi, sekiranya dijaga dengan betul, boleh menjadi kekuatan yang membentuk identiti negara.

"Faham, Hormat, Terima" adalah nilai yang perlu diterapkan dalam setiap lapisan masyarakat, bagi memastikan negara kita terus menjadi contoh kepada dunia tentang bagaimana kepelbagaian agama dan budaya boleh digabungkan untuk mencipta satu negara yang benar-benar harmoni, katanya.