PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperketatkan kawalan keselamatan di lapangan terbang termasuk menempatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC).
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata AVSEC ketika ini dikendalikan polis bantuan.
"Langkah itu turut melibatkan semakan semula saringan latar belakang dan pemeriksaan kesihatan terhadap juruterbang serta pembantu juruterbang.
"PDRM dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) juga diarahkan meneliti sebarang aspek yang berpotensi disalahgunakan termasuk mengenal pasti serta menutup sebarang kelompangan yang wujud dengan kadar segera," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang sidang media pascamesyuarat Kabinet, di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas cadangan penubuhan pasukan khas bagi menangani isu penyeludupan dadah susulan beberapa insiden baru-baru, Fahmi berkata, Jemaah Menteri setakat ini hanya menerima laporan lisan daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Katanya, kerajaan memerlukan laporan penuh mengenai kes yang masih dalam siasatan pihak berkuasa Indonesia sebelum memutuskan sebarang tindakan susulan.
"Kita perlu tahu siapa lagi yang kemungkinan terlibat. Mereka yang terlibat perlu dihadapkan ke muka pengadilan dan beberapa tindakan menyeluruh perlu kita ambil bagi memastikan semua kelompangan dapat ditutup dengan segera," katanya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan sebelum ini berkata, pihaknya mengenal pasti seorang kakitangan beruniform yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menyiasat punca dadah dibawa oleh seorang pembantu juruterbang berjaya melepasi tapisan keselamatan di Indonesia.