Ringkasan AI
- Kerajaan Persekutuan telah meluluskan hampir semua permohonan projek pembangunan dan infrastruktur yang dikemukakan oleh kerajaan negeri Kelantan setakat ini.
- Kelulusan projek termasuk pemanjangan landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dan sambungan Laluan Rel Pantai Timur ke Rantau Panjang.
- Kerjasama erat antara agensi kerajaan Persekutuan dan negeri dianggap penting untuk menyelesaikan isu pembangunan serta meningkatkan peluang pekerjaan di Kelantan.
KOTA BHARU: Hampir semua permohonan projek pembangunan dan infrastruktur yang dikemukakan kerajaan negeri telah diluluskan Kerajaan Persekutuan setakat ini, kata Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Beliau berkata kelulusan itu hasil perbincangan serta kerjasama erat antara agensi kerajaan Persekutuan dan negeri dalam mengenal pasti serta menyelesaikan isu pembangunan di kawasan terlibat.
"Isu-isu pembangunan dan infrastruktur yang perlu diberi keutamaan perlu mendapat keputusan bersama. Apabila dibincangkan, kita dapat mengetahui masalah sebenar yang berlaku.
"Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan kerana semua isu boleh ditangani melalui perbincangan dan hubungan antara agensi kerajaan Persekutuan dan negeri di Kelantan juga sangat baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Saizol Ismail (Pas-Salor) mengenai bentuk kerjasama kerajaan Persekutuan dan negeri dalam meningkatkan pendapatan rakyat pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Antara projek yang mendapat kelulusan hasil perbincangan itu ialah pemanjangan landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa sejauh 400 meter serta sambungan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Rantau Panjang.
Mohd Nassuruddin berkata pembangunan infrastruktur yang lengkap penting bagi menarik pelaburan, membuka kawasan perindustrian serta menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.
Beliau berkata permohonan menyambung jajaran ECRL ke Rantau Panjang yang bersempadan dengan selatan Thailand turut mendapat maklum balas positif apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan persetujuan kerajaan Persekutuan terhadap cadangan itu.
"Kalau projek-projek yang kita bincang ini berjaya, banyak perubahan akan berlaku. Hampir semua yang kita minta kita dapat termasuk Empangan Lebir. Saya ucap terima kasih kerana apabila projek ini selesai, peluang pekerjaan juga akan ada," katanya.
-- BERNAMA