GEORGE TOWN: Kerajaan sedang merangka pindaan undang-undang bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap pencuri kabel, susulan kejadian berulang yang mengganggu operasi dan mengancam keselamatan sistem rel negara.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata cadangan itu kini pada peringkat perbincangan dasar, dengan kementeriannya bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk merangka pindaan berkenaan.
“Memang dalam perancangan. Kita sedang merangka pindaan undang-undang dan bekerjasama dengan pihak KDN juga untuk meminda undang-undang bagi memperketat hukuman.
“Dari segi hukuman penjara, butirannya belum kita muktamadkan. Sekarang ini masih dalam perbincangan dasar untuk kita meningkatkan hukuman penjara dan denda,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Bas Elektrik Rapid Penang di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kerajaan mempertimbangkan pindaan undang-undang sedia ada bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap pencuri kabel susulan kejadian terbaharu di Laluan MRT Kajang, di ibu negara semalam.
Mengulas lanjut, Loke berkata kecurian kabel merupakan masalah serius yang dihadapi semua operator rel, termasuk Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), malah projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang belum beroperasi juga pernah berdepan dengan kejadian kecurian kabel.
“Pencuri kabel ini perlu dikenakan hukuman yang lebih berat untuk memberikan satu mesej bahawa ini bukan kecurian biasa. Apabila berlaku kecurian kabel, kejadian itu melibatkan keselamatan orang ramai,” katanya.
Beliau berkata operator rel perlu mempertingkatkan langkah pencegahan sementara kerajaan menghalusi pindaan undang-undang berkenaan, termasuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik serta menempatkan lebih ramai anggota polis bantuan bagi memastikan kawasan larangan tidak diceroboh pencuri kabel.
Dalam kejadian pagi semalam, perkhidmatan MRT Laluan Kajang mengalami kelewatan susulan cubaan mencuri kabel dan pencerobohan di landasan.
Rapid KL memaklumkan kelewatan itu membabitkan laluan di antara Stesen Phileo Damansara dengan Stesen Pusat Bandar Damansara.
– BERNAMA