Skip to main content

Malaysia

Kerajaan setuju wujudkan Tabung Pos dengan dana awal RM150 juta - Fahmi

Fahmi (foto) berkata tabung itu akan diselenggarakan MCMC bagi memastikan perkhidmatan di bawah Obligasi Perkhidmatan Sejagat (USO), terutama penghantaran surat ke kawasan yang mempunyai tahap kesalinghubungan rendah dapat dilaksanakan dengan lancar. -Gambar fail/Bernama
Fahmi (foto) berkata tabung itu akan diselenggarakan MCMC bagi memastikan perkhidmatan di bawah Obligasi Perkhidmatan Sejagat (USO), terutama penghantaran surat ke kawasan yang mempunyai tahap kesalinghubungan rendah dapat dilaksanakan dengan lancar. -Gambar fail/Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kerajaan akan menubuhkan Tabung Pos dengan dana permulaan RM150 juta, dijangka beroperasi suku pertama 2027 untuk memastikan kelangsungan perkhidmatan pos luar bandar.
  • Tabung ini akan diselia MCMC bagi melancarkan perkhidmatan di bawah Obligasi Perkhidmatan Sejagat, termasuk penghantaran ke kawasan berhubung rendah dan terpencil.
  • Kementerian Komunikasi dan MCMC akan meneliti langkah memastikan kelestarian industri pos serta kebajikan pekerja, selaras perkembangan teknologi dan ekonomi digital.

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju mewujudkan Tabung Pos dengan dana permulaan RM150 juta yang dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2027 bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan pos, khususnya perkhidmatan di kawasan luar bandar, pedalaman dan pulau.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata tabung itu akan diselenggarakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan perkhidmatan di bawah Obligasi Perkhidmatan Sejagat (USO), terutama penghantaran surat ke kawasan yang mempunyai tahap kesalinghubungan rendah dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Penubuhan Tabung Pos menggunakan prinsip yang sama seperti Tabung Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) bagi sektor telekomunikasi, dengan peruntukan berkaitan sudah termaktub dalam Akta Perkhidmatan Pos sejak 2012.

“Walaupun tabung ini sudah lama ada dalam akta, namun tidak pernah ada kerajaan sebelum ini yang berusaha untuk mewujudkannya, kecuali Kerajaan MADANI,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Pos Sedunia di sini, hari ini.

Fahmi berkata skop penggunaan tabung itu juga akan diteliti supaya tidak terhad kepada perkhidmatan pos semata-mata, sebaliknya merangkumi keperluan penghantaran barangan ke kawasan terpencil yang jauh dari bandar.

Kementerian Komunikasi dan MCMC juga akan meneliti langkah bagi memastikan kelangsungan serta kelestarian ekosistem pos dan kurier, yang telah beroperasi di Malaysia selama lebih 200 tahun, selaras dengan perkembangan teknologi, ekonomi digital dan e-dagang.

Beliau berkata penyesuaian dasar, undang-undang dan operasi diperlukan bagi memastikan industri berkenaan terus berdaya saing, selain menjaga kebajikan pekerja melalui gaji dan pampasan pekerjaan yang sewajarnya.

MCMC telah memulakan proses libat urus dengan syarikat penyedia perkhidmatan e-dagang, yang akan disusuli dengan syarikat kurier utama serta badan kawal selia dan penguatkuasaan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Kebangsaan. 

Beliau berkata penyelarasan itu penting bagi menangani aduan berkaitan perkhidmatan e-dagang dan penghantaran barangan dengan lebih berkesan.

Semalam, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 berkata Rang Undang-Undang (RUU) E-Dagang akan dibentangkan pada mesyuarat Parlimen akan datang bagi memperkukuh akauntabiliti platform dan penjual dalam talian selain melindungi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan daripada persaingan tidak adil.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata Pos Malaysia, MCMC dan Kementerian Komunikasi akan bekerjasama menghasilkan setem khas bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-70 kemerdekaan negara tahun depan.

Terdahulu, Pos Malaysia menyambut Hari Pos Sedunia dengan pelancaran setem khas selain memperkenalkan kenderaan tiga roda elektrik pertama di Malaysia bagi penghantaran jarak akhir, yang dapat meningkatkan kapasiti muatan dan keselamatan.

-- BERNAMA

 

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI

  • Q: Apakah tujuan penubuhan Tabung Pos dengan dana permulaan RM150 juta? 
    A: Tabung Pos ditubuhkan untuk memastikan kelangsungan perkhidmatan pos, khususnya di kawasan luar bandar, pedalaman dan pulau.
  • Q: Siapakah yang akan menyelenggarakan Tabung Pos ini? 
    A: Tabung Pos akan diselenggarakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
  • Q: Bilakah Tabung Pos dijangka mula beroperasi? 
    A: Tabung Pos dijangka mula beroperasi pada suku pertama tahun 2027.
  • Q: Apakah langkah yang diambil untuk memastikan kelestarian industri pos dan kurier di Malaysia? 
    A: Kementerian Komunikasi dan MCMC akan meneliti dasar, undang-undang dan operasi serta memastikan kebajikan pekerja melalui gaji dan pampasan yang sewajarnya.
  • Q: Apakah inisiatif terkini yang diperkenalkan oleh Pos Malaysia sempena Hari Pos Sedunia? 
    A: Pos Malaysia melancarkan setem khas dan memperkenalkan kenderaan tiga roda elektrik pertama di Malaysia untuk penghantaran jarak akhir.

Must Watch Video

Advertisement