KUALA LUMPUR: Kerajaan bertekad mengambil tindakan tegas terhadap dalang dan sindiket penyeludupan warga asing serta mana-mana pihak yang melindungi atau bersubahat dengan mereka susulan kematian anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika menjalankan tugas.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keselamatan anggota penguat kuasa dan kedaulatan negara tidak boleh dipertaruhkan dengan seluruh pasukan penguatkuasaan perlu bertindak tegas tanpa kompromi terhadap sebarang cubaan menceroboh sempadan negara.
Beliau berkata demikian dalam hantaran di laman Facebook susulan pemergian anggota Unit Perisikan APMM Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, yang terkorban ketika menjalankan tugas menghalang kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini, tengah malam tadi.
“Saya amat terkesan dengan pemergian Allahyarham dan kecewa dengan tindakan pihak yang menggugat keselamatan serta kedaulatan negara. Kita tidak boleh membiarkan pengorbanan ini menjadi sia-sia.
“Seluruh pasukan penguatkuasaan mesti bertindak tegas tanpa kompromi terhadap cubaan menceroboh sempadan negara,” kata beliau.
Anwar berkata kerajaan dan seluruh pasukan keselamatan juga bertekad memastikan dalang dan sindiket penyeludupan warga asing serta pihak yang melindungi atau bersubahat dengan kegiatan itu dibawa ke muka pengadilan.
Beliau turut menegaskan bahawa petualang yang membenarkan kedaulatan negara dicabuli perlu dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka.
Dalam hantaran sama, Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta seluruh warga APMM yang kehilangan rakan seperjuangan dalam mempertahankan keselamatan perairan negara.
Perdana Menteri turut mendoakan agar Allah SWT mengampuni Allahyarham, melimpahkan rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.
Mohd Roshaimi, 41, terlibat dalam insiden bot peronda terlanggar tembok pesisir pantai di Sungai Padang, Perlis ketika menjalankan tugas menghalang kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini.
Dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, bapa kepada dua anak itu disahkan meninggal dunia manakala tiga lagi anggota APMM dilaporkan cedera selepas dipercayai tercampak dari bot dinaiki mereka.
Insiden dipercayai berlaku ketika mereka sedang mengejar sebuah bot yang disyaki membawa sembilan pendatang tanpa izin warga Myanmar sebelum bot peronda dinaiki dipercayai terlanggar tembok di pesisir pantai Sungai Padang.
-- BERNAMA