Skip to main content

Malaysia

Kerajaan teliti cadangan wujudkan daftar pesalah keganasan rumah tangga

KUALA LUMPUR, 30 Julai -- Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying ketika sesi soal jawab lisan pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas, Sidang Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat komited dalam menangani isu Keganasan Rumah Tangga melalui pendekatan menyeluruh melibatkan kerajaan dan masyarakat, kata Lim Hui Ying. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti cadangan mewujudkan Daftar Pesalah Keganasan Rumah Tangga (KRT) bagi merekod dan memantau pelaku yang mengulangi kesalahan berkenaan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying.

Beliau berkata, langkah itu sedang diteliti bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak mahkamah bagi mengelakkan pelaku mengulangi jenayah sama terhadap mangsa.

"Sehubungan itu, tindakan susulan untuk meneliti lanjut cadangan ini sedang diambil bersama...untuk membangunkan satu mekanisme bersesuaian untuk merekod dan memantau pelaku keganasan rumah tangga berulang melalui rekod jenayah atau daftar kesalahan yang berkaitan, sebab pada masa ini kita tidak ada data tepat.

"KPWKM komited dalam menangani isu KRT melalui pendekatan menyeluruh melibatkan kerajaan dan masyarakat," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Tiew Way Keng berhubung perancangan kerajaan bagi membendung dan mengelakkan kejadian keganasan rumah tangga daripada terus berulang.

Sementara itu, Lim berkata, KPWKM memperuntukkan RM2.1 juta pada tahun ini bagi kerja menaik taraf lebih 20 tempat selamat bagi mangsa KRT kendalian kerajaan di seluruh negara.

Beliau berkata, ini bagi memastikan premis berkenaan berada dalam keadaan kondusif, berfungsi dengan baik dan bersedia menerima mangsa KRT yang memerlukan perlindungan sementara.

Beliau memaklumkan, menurut rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga Julai 2026, sebanyak 43 tempat selamat diluluskan di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521), dengan 39 daripadanya disenggarakan kerajaan manakala empat lagi dikendalikan badan bukan kerajaan (NGO).

β€œSelain itu, KPWKM melalui JKM turut menyediakan pelbagai perkhidmatan perlindungan dan sokongan kepada mangsa KRT, termasuk Perintah Perlindungan Kecemasan dalam tempoh dua jam bagi kes yang memerlukan perlindungan segera.

β€œJKM juga telah membantu kes yang memerlukan bantuan bagi mendapatkan Perintah Perlindungan Interim dan Perintah Perlindungan daripada mahkamah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement