Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata wanita berusia 65 tahun itu menyertai pelaburan berkenaan pada pertengahan Disember lepas apabila dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp.
Beliau berkata mangsa tertarik untuk membuat pelaburan selepas dijanjikan pulangan lumayan hingga 40 peratus.
"Bagi tujuan pelaburan, mangsa diminta membuat 11 transaksi bayaran melibatkan tiga akaun bank yang berbeza membabitkan wang berjumlah RM1 juta.
"Baru-baru ini, mangsa bercadang membuat pengeluaran keuntungan tetapi perlu mendepositkan RM309,298 terlebih dahulu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hussein berkata mangsa tampil membuat laporan polis selepas menyedari telah diperdaya apabila gagal mendapatkan keuntungan seperti yang dijanjikan.
Kes katanya disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
