KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah telah menyiapkan Kertas Kabinet bagi cadangan mewujudkan rangkaian Lembaga Pemasaran Pertanian Sabah.

Menterinya, Datuk Seri Jeffrey Kitingan berkata, kertas kerja tersebut dijangka dibentangkan kepada Mesyuarat Kabinet Negeri dalam masa terdekat.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, langkah menubuhkan rangkaian lembaga itu adalah bagi mengukuhkan sektor pertanian, sekali gus membantu golongan petani memasarkan hasil mereka.

"Kita perlukan rangkaian dan ekosistem pemasaran. Sebab itu, kita sekarang ini selain daripada rangkaian yang ada melalui Korporasi Pembangunan Desa (KPD), sekarang ini kita naik taraf kepada pusat-pusat pengumpulan dan pemprosesan hasil tani.

"Tidak lama lagi, kita juga bercadang untuk mewujudkan Sabah Agriculture Marketing Authority (Lembaga Pemasaran Pertanian Sabah).

"Bila semua ini dapat diwujudkan, kita akan mempunyai ekosistem pertanian yang lengkap," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Jeffrey berkata kementeriannya juga menyambut baik arahan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor agar mengutamakan golongan miskin dalam program dan pelan tindakan sebagai sebahagian inisiatif membasmi golongan miskin tegar.

Jelas beliau, Inisiatif Pembasmian Kemiskinan yang telah dilaksanakan antaranya ialah Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan).

"Di Sabah ini mungkin 70 peratus terlibat dalam pertanian terutama di luar bandar. Kebanyakan rakyat kita yang miskin ini adalah petani, nelayan dan penternak.

"Jadi, tepat dengan sasaran (Ketua Menteri) dan kita akan berusaha untuk meningkatkan perusahaan mereka dengan membangunkan fasiliti jalan pertanian," tambah Jeffrey.

Menerusi Belanjawan 2025, Kerajaan Sabah memperuntukan sebanyak RM17.6 juta kepada Ko-Nelayan untuk operasi serta meneruskan pelbagai program dan projek pembangunan.

Ia dijangka memberi manfaat kepada komuniti nelayan, pengusaha kecil dan sederhana serta pembangunan industri akuakultur dan perikanan.


* Temu bual bersama Datuk Seri Jeffrey Kitingan akan turut disiarkan di AWANI Sabah+, pada pukul 8.25 malam, setiap Khamis dan Jumaat di Saluran 501 AWANI.