KUANTAN: Suspek kes pembunuhan peniaga makanan, Norshamira Zainal, 37, dibawa ke lokasi mayat mangsa ditemui di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur bagi membantu siasatan lanjut.


Ringkasan AI
  • Suspek kes pembunuhan Norshamira Zainal dibawa ke lokasi mayat mangsa ditemui di tepi Sungai Kuantan untuk membantu siasatan lanjut.
  • Suspek, seorang lelaki berusia 53 tahun, ditahan dalam serbuan di Terengganu dan direman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
  • Norshamira ditemukan mati dengan kesan kecederaan yang menunjukkan unsur jenayah, dan suaminya tidak menyangka suspek yang peramah sanggup membunuh isterinya.


Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner, Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek dibawa ke lokasi kejadian kira-kira jam 2.30 petang dengan diiringi beberapa buah kereta polis.

"Suspek memakai baju lokap dibawa ke situ bagi mendapatkan bahan bukti," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Pada Sabtu, suspek utama kes bunuh Norshamira, seorang lelaki berusia 53 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di kawasan perumahan Wakaf Tembusu, Gong Badak, Kuala Terengganu, kira-kira jam 5.30 pagi.

Majistret Nor Izzati Zakaria membenarkan permohonan reman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga 21 Februari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, media melaporkan mayat Norshamira ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur pada 13 Februari lalu dengan kesan kecederaan yang menunjukkan unsur jenayah.

Mangsa yang menjalankan perniagaan penghantaran tunai (COD) makanan dikatakan keluar rumah untuk menghantar sambal ikan bilis garing kepada pelanggan, yang juga suspek utama kes pembunuhan kejam tersebut.

Suami mangsa, Muhammad Afiq Akmal Nudin, 31, tidak menyangka suspek yang peramah dan kelihatan baik sanggup membunuh isterinya. -Sinar Harian