Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata proses sambung reman itu dibuat selepas kes dirujuk kepada Majistret Nor Izzati Zakaria di Mahkamah Majistret di sini, berikutan tempoh reman lelaki berumur 53 tahun itu tamat hari ini.
"Polis telah mendapatkan perintah sambung reman terhadap individu terbabit bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, mayat seorang peniaga makanan wanita Norshamira Zainal, 37, ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini dan siasatan lanjut mendapati terdapat unsur jenayah pada tubuh mangsa.
Susulan itu, polis telah menahan seorang lelaki di kawasan perumahan Wakaf Tembesu Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu pada Sabtu dan merampas sebentuk cincin, wang tunai, pakaian selain dokumen bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA
