SHAH ALAM: Polis masih menyiasat kemungkinan wujud pembabitan 'orang dalam' dalam kes seorang pembantu juruterbang yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Indonesia baru-baru ini kerana disyaki cuba menyeludup masuk 25 kilogram (kg) dadah ke negara itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata siasatan masih di peringkat awal dan polis memerlukan bukti serta keterangan yang mencukupi sebelum membuat sebarang kesimpulan.
Menurut beliau, semua sudut siasatan termasuk kemungkinan pembabitan pihak dalaman sedang diteliti.
"Masih terlalu awal untuk saya dedahkan sama ada orang dalam terlibat atau tidak.
"Kalau ada orang lain terlibat, saya perlu ada bukti yang mencukupi untuk mengatakan memang ada orang lain terlibat, termasuk orang dalam.
"Pada masa sama, saya juga tidak menafikan kemungkinan orang dalam terlibat. Jadi, ia masih dalam proses siasatan untuk mengukuhkan lebih banyak keterangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Hussein berkata empat pegawai JSJN tiba di Jakarta pagi tadi bagi bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia berhubung kes berkenaan.
Katanya, mereka dijadual menemu bual pembantu juruterbang berusia 39 tahun itu pada Rabu dan Khamis bagi mendapatkan maklumat lanjut.
"Setakat ini, kira-kira empat hingga lima saksi sudah dipanggil bagi membantu siasatan,” kata Hussein.
Menurutnya, siasatan turut melibatkan usaha mengesan individu yang mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan, termasuk pemilik nombor telefon yang dipercayai digunakan untuk menghubungi juruterbang terbabit.
"Namun, nombor telefon berkenaan didaftarkan menggunakan identiti palsu, sekali gus menyukarkan usaha mengesan pemilik sebenar," katanya lagi.
Sementara itu, Hussein ketika ditanya mengenai penahanan seorang warganegara Malaysia di Chennai, India kerana membawa empat kilogram ganja berkata pihaknya percaya individu itu mendapatkan bekalan dadah berkenaan dari Bangkok.
Beliau berkata PDRM telah memperoleh maklumat berkaitan identiti individu, kewarganegaraan dan butiran penerbangannya, dan akan menyiasat sama ada individu itu mempunyai kaitan dengan sindiket di Malaysia atau direkrut sebagai keldai dadah di Thailand atau Malaysia.