KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkukuh langkah pencegahan dan kawalan demam denggi susulan peningkatan ketara kes di seluruh negara dengan 58,079 direkodkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-32 tahun ini.
KKM memaklumkan, jumlah itu meningkat 56.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, selain mencatatkan 55 kematian akibat komplikasi demam denggi.
Menurut kementerian itu, peningkatan kes pada peringkat awal tertumpu di Lembah Klang, khususnya di Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"KKM telah melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan secara intensif serta berfokus termasuk pengesanan awal kes, kawalan vektor, pengurusan wabak dan mobilisasi anggota bagi memperkukuh kapasiti respons di lapangan.
"Langkah yang dipergiatkan itu mula menunjukkan perkembangan positif di Lembah Klang, namun risiko penularan denggi masih tinggi dan peningkatan kes kini turut dikesan di beberapa negeri lain," katanya dalam kenyataan hari ini.
Data KKM menunjukkan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 25,090 kes sehingga 15 Ogos lalu, meningkat 61 peratus berbanding 15,610 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pula merekodkan 10,316 kes, meningkat 106 peratus berbanding 5,013 kes pada tahun lalu, manakala Johor mencatatkan 8,639 kes, naik 109 peratus daripada 4,140 kes.
Perlis merekodkan peningkatan tertinggi dari segi peratusan iaitu 207 peratus dengan 169 kes berbanding 55 kes pada tahun lalu.
Selain itu, Terengganu mencatatkan peningkatan 70 peratus, Sabah 34 peratus, Sarawak 33 peratus, Pahang 11 peratus dan Kelantan 10 peratus.
Bagaimanapun, tiga negeri menunjukkan penurunan kes iaitu Kedah yang merekodkan pengurangan 60 peratus, Melaka 36 peratus dan Pulau Pinang 26 peratus.
KKM menjelaskan peningkatan kes denggi dipengaruhi pelbagai faktor termasuk keadaan cuaca tidak menentu dengan taburan hujan yang berselang-seli dengan cuaca panas sehingga mewujudkan persekitaran sesuai untuk pembiakan nyamuk Aedes.
"Selain itu, kewujudan bekas takungan air yang tidak diselenggara di kawasan kediaman dan persekitaran turut menyumbang kepada peningkatan risiko pembiakan nyamuk serta penularan penyakit berkenaan.
"Sehubungan itu, KKM menyeru semua pihak termasuk kementerian dan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta, pengurusan premis serta komuniti memainkan peranan masing-masing dalam memastikan kawasan di bawah tanggungjawab mereka bebas daripada tempat pembiakan Aedes.
"Orang ramai juga disaran memperuntukkan sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu untuk memeriksa dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk di dalam dan sekitar kediaman," ujarnya.
KKM turut mengingatkan orang ramai agar mendapatkan pemeriksaan dan rawatan segera sekiranya mengalami demam atau menunjukkan tanda-tanda amaran demam denggi.
"Kementerian akan terus memantau situasi secara rapi dan menyesuaikan intervensi berdasarkan perkembangan epidemiologi semasa bagi memastikan usaha pencegahan dan kawalan denggi dapat dilaksanakan secara berterusan serta berkesan," menurut kenyataan itu.
Malaysia
Kes denggi meningkat 56.2 peratus, KKM perkukuh tindakan kawalan
Data menunjukkan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 25,090 kes demam denggi sehingga 15 Ogos lalu, meningkat 61 peratus berbanding 15,610 kes dalam tempoh sama tahun lalu. - Gambar hiasan