Ringkasan AI
- Mahkamah Majistret memerintahkan kes pemandu wanita yang didakwa membunuh tiga penuntut UiTM Dungun dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.
- Norizan Ismail, 50, didakwa atas tiga pertuduhan membunuh dan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika tidak dihukum mati.
- Norizan memandu SUV yang merempuh dua motosikal dinaiki empat penuntut UiTM, menyebabkan tiga maut dan seorang cedera.
Majistret Nur Amirah Fatihah Osman membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nur Azhani Azman untuk memindahkan kes Norizan Ismail, 50, yang menghadapi tiga pertuduhan membunuh.
"Hari ini ditetapkan bagi izin pendakwaan untuk ketiga-tiga kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. Pihak pendakwaan memohon kes ini dipindah untuk dibicarakan," kata Nur Azhani pada sebutan semula kes itu hari ini.
Pada 15 Okt 2024, ibu kepada tiga anak itu didakwa atas tiga pertuduhan menyebabkan kematian Muhammad Akmal Md Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20; dan Khairil Anuar Jamaludin, 20, di Jalan Pantai berhadapan UiTM Dungun pada 7.35 malam, 9 Okt tahun lepas.
Wanita itu yang diwakili peguam Norhabibah Norulalzahar didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum tidak kurang 12 sebatan.
Pada 14 Jan lepas, mahkamah itu mengesahkan Norizan layak untuk dibicarakan berdasarkan laporan pemeriksaan psikiatri yang diperoleh dari Hospital Permai, Johor.
Dalam kejadian itu, wanita berkenaan yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) merempuh dua motosikal dinaiki empat penuntut UiTM yang dalam perjalanan pulang ke kampus selepas menyertai aktiviti riadah dan makan malam.
Selain tiga yang maut, rempuhan dari arah belakang itu juga menyebabkan seorang lagi mangsa Muhammad Ammar Danish Mohd Ridhuan, yang ketika itu berusia 20 tahun, cedera.
-- BERNAMA
