Skip to main content

Malaysia

Kes rasuah: SPRM masih tunggu surat Saravanan – Abdul Halim

Kuala Lumpur , 28 Ogos 2026.Bekas Menteri Sumber Manusia , Datuk Seri M Saravanan tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Minggu lalu, Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Putrajaya, atas tiga pertuduhan menerima suapan RM1.097 juta, empat tahun lalu. - Gambar fail/Astro AWANI
Advertisement

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum menerima surat daripada bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berhubung kes rasuah yang sedang dihadapinya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman, berkata pihaknya masih menunggu surat berkenaan dan akan menelitinya sebaik diterima.

“Setakat hari ini, surat tersebut pihak kami tak menerima. Pihak kami belum menerima surat daripada pihak yang dinyatakan itu.

“Kita masih menunggu. Kita belum menerima apa-apa lagi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai surat Saravanan berhubung kes berkenaan akan dirujuk kepada SPRM atau pihak berkuasa berkaitan untuk penelitian.

Mengulas dakwaan berkaitan kedudukan saksi utama yang dikatakan sudah meninggal dunia, Abdul Halim berkata, perkara itu lebih menjurus kepada proses penyiasatan yang bersifat sulit.

Beliau berkata, kedudukan kertas siasatan hanya diketahui pegawai penyiasat dan pihak atasan SPRM.

“Bagaimanakah proses tersebut di mana kedudukan seorang saksi utama telah meninggal dunia dan sebagainya, ia lebih menjurus kepada proses penyiasatan.

“Proses penyiasatan itu adalah sesuatu yang sulit. Tidak ada pihak boleh mengetahui kedudukan kertas siasatan tersebut melainkan pegawai penyiasat dan juga pihak atasan SPRM,” katanya.

Abdul Halim berkata, persoalan sama ada sesuatu kes itu kukuh atau mengapa pendakwaan diteruskan adalah soal perundangan yang sewajarnya diuji di mahkamah.

Katanya, beliau tidak boleh mengulas lanjut mengenai merit kes berkenaan kerana ia sudah didaftarkan di mahkamah dan kini bersifat subjudis.

“Kalau soal perundangan, elok diuji di mahkamah melalui Timbalan Pendakwa Raya (DPP), peguam serta hakim.

“Saya tak boleh beri komen apa-apa tentang perkara itu kerana ia melibatkan merit kes dan kes itu telah didaftarkan oleh mahkamah.

“Perkara yang subjudis tidak boleh disentuh kerana kes itu di mahkamah. Biarkan mahkamah membuat keputusan dan biarlah pihak-pihak berhujah di mahkamah,” katanya.

Minggu lalu, Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga pertuduhan menerima suapan RM1.097 juta, empat tahun lalu.

Mahkamah membenarkan ahli politik itu diikat jamin RM450,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM setiap tiga bulan sekali dan tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan sama ada secara sendiri atau pihak ketiga.

Must Watch Video

Advertisement