PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuannya terhadap sabitan dan hukuman berhubung kes projek solar hibrid Sarawak bernilai RM1.25 bilion.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Azahari Kamal Ramli membenarkan Rosmah mengemukakan bukti tambahan melibatkan saksi pendakwaan ke-16, Rayyan Radzwill Abdullah, ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Dua lagi hakim yang bersidang hari ini ialah Datuk Dr Choo Kah Sing dan K. Muniandy.
Mahkamah turut memerintahkan supaya bukti tambahan itu diambil di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang berbeza dalam tempoh dua minggu dari tarikh pengurusan kes pada 10 Sept ini di hadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Choo berkata bukti tambahan itu hendaklah diperoleh daripada Rayyan melalui pemeriksaan balas lanjut dan pemeriksaan semula.
Beliau berkata sebarang keterangan lain yang ingin dikemukakan sama ada oleh pihak pembelaan atau pendakwaan mestilah berkaitan dengan bukti tambahan yang diberikan oleh Rayyan.
Choo berkata bukti yang dicadangkan itu terdiri daripada laporan polis, akuan berkanun dan dokumen sokongan yang disahkan Rayyan, yang antara lain mendakwa wujud tekanan pendakwaan ketika perbicaraan serta mengemukakan bahan dokumentari bagi mencabar kredibiliti keterangannya.
Beliau berkata Rosmah, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, tidak munasabah untuk memperoleh bahan berkenaan ketika perbicaraan, sambil menambah bahawa berdasarkan keterangan Rayyan sendiri, beliau dikatakan berdepan tekanan pendakwaan dan pengawasan.
“Bukti tambahan itu secara langsung menyentuh pengetahuan dan niat Rosmah, kuasa Datuk Rizal Mansor serta kredibiliti keterangan Rayyan berhubung perkara yang menjadi asas kepada sabitan (Rosmah),” katanya.
Beliau berkata pada peringkat ini, mahkamah tidak menentukan kebenaran bukti berkenaan, sebaliknya hanya menilai sama ada bukti itu diperlukan dan boleh dipercayai.
Beliau turut berkata memandangkan hakim bicara bergantung pada keterangan Rayyan, bukti baharu itu, sekiranya diterima, secara munasabah boleh menimbulkan keraguan terhadap kesalahan perayu (Rosmah).
Mahkamah menetapkan 4 hingga 16 Okt dan 19 hingga 23 Okt untuk mendengar rayuan Rosmah.
Rosmah, 75, memfailkan notis usul pada 21 Julai lalu bagi memohon memasukkan bukti tambahan berkenaan mengikut Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Rosmah turut memohon supaya Rayyan, yang juga bekas perunding dan rakan perniagaan Jepak Holdings Sdn Bhd, dipanggil semula untuk memberikan keterangan lisan tambahan sama ada di Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi.
Terdahulu di Mahkamah Rayuan, peguam Rosmah, Amer Hamzah Arshad, berhujah bahawa Rosmah menerima surat daripada peguam Rayyan pada Julai tahun ini yang disertakan laporan polis yang dibuat Rayyan dan akuan berkanun olehnya, yang antara lain melampirkan afidavit tambahan terdahulu yang dilafazkannya pada 2020 ketika beliau masih memberi keterangan dalam perbicaraan tetapi tidak pernah didedahkan.
Bukti itu mendedahkan bahawa Rayyan didakwa telah diugut oleh mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang ketika itu merupakan pendakwa raya dalam kes berkenaan, selain beberapa bahagian tertentu dalam pernyataan bertulisnya didakwa tidak menggambarkan apa yang sebenarnya diketahuinya, namun beliau tidak dibenarkan mengubahnya.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah membantah permohonan Rosmah dengan menyatakan bahawa ia merupakan cubaan untuk membina semula naratif keterangan yang telah dikemukakan di Mahkamah Tinggi.
Pada 1 Sept 2022, Mahkamah Tinggi mensabitkan Rosmah atas tiga pertuduhan rasuah mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Beliau didapati bersalah meminta suapan berjumlah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin, melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.
Suapan itu sebagai dorongan untuk membantu Jepak Holdings mendapatkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion bagi membekalkan tenaga kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak daripada Kementerian Pendidikan.
Rosmah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, yang berjalan serentak, selain didenda RM970 juta. Beliau diberikan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuannya.
-- BERNAMA