Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata kesemua individu berusia lingkungan 34 hingga 41 tahun itu ditahan di kawasan Kampung Melayu Majidee di sini pada kira-kira 12.30 tengah hari, Isnin lepas.
Beliau berkata dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas sepucuk pistol berwarna hitam jenis Sig Sauer berserta kelopak dan sarung berwarna hitam, sepucuk senjata api disyaki tiruan, dua motorsikal jenama Yamaha, dua 'allen key' yang telah diubah suai, beberapa peket plastik lut sinar berisi bahan dipercayai dadah berbahaya serta enam telefon bimbit pelbagai jenama.
"Siasatan awal mendapati senjata yang dirampas dipercayai digunakan dalam kejadian tembakan terbabit, bagaimanapun pihak polis masih menunggu laporan analisis balistik daripada Jabatan Kimia untuk pengesahan.
"Hasil semakan mendapati keempat-empat suspek memiliki pelbagai rekod berkaitan jenayah dan dadah manakala ujian air kencing juga mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Kumar berkata dengan penangkapan itu, empat kes jenayah berjaya diselesaikan dan siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti penglibatan kesemua suspek dengan lain-lain kes.
"Mereka kini masih direman hingga 23 Feb ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
"Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960, Seksyen 36 Akta Senjata 1960, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Beliau turut memaklumkan seorang daripada suspek dikenali sebagai Man Tiger, 32, yang ditahan di Pusat Perdagangan Simpang Renggam pada 10 Feb lepas akan dituduh di Mahkamah Majistret Kluang hari ini.
Kumar berkata kertas siasatan telah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya semalam dan arahan pertuduhan di bawah peruntukan Seksyen 307 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian di Machap itu, seorang wanita berusia 36 tahun didatangi tujuh lelaki bertanyakan mengenai pemilik rumah sebelum seorang daripada mereka mengeluarkan pistol dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa tetapi tidak mengenai sasaran.
Kesemua suspek kemudiaannya melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Perodua Bezza, Volkswagen Golf dan Honda Civic.
-- BERNAMA
