KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memfailkan permohonan prosiding inkues selewat-lewatnya Khamis ini bagi menyiasat kematian tiga individu dalam insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka, pada 24 November tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata keputusan untuk mengadakan inkues telah dibuat dan permohonan itu akan difailkan dalam tempoh dua hari bagi mendapatkan tarikh pendengaran serta tindakan lanjut.
"Keputusan sudah dibuat untuk inkues. Kita akan fail untuk inkues dalam dua hari lagi untuk mendapatkan tarikh dan tindakan selanjutnya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Kumar berkata semua pegawai serta anggota polis yang terbabit dalam insiden berkenaan akan dipanggil sebagai saksi dalam prosiding inkues itu.
Menurutnya, pegawai dan anggota polis yang terbabit dalam insiden itu ketika ini tidak aktif bertugas.
Media sebelum ini melaporkan Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan supaya prosiding inkues diadakan bagi menyiasat kematian tiga individu dalam insiden tembakan berkenaan.
AGC memaklumkan prosiding itu bertujuan menentukan punca dan sebab kematian serta meneliti fakta dan keadaan yang membawa kepada kematian ketiga-tiga individu terbabit, termasuk mengenal pasti sama ada wujud unsur jenayah.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi pada 24 November tahun lalu, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka didakwa menghayunkan parang ke arah seorang koperal polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.
Insiden itu menyebabkan anggota polis berusia awal 30-an berkenaan mengalami kecederaan serius pada lengan kiri.