Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an itu ditembak menerusi satu operasi sekitar jam 3 pagi.
Serbuan itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama JSJ Selangor di sebuah hotel di Pulau Ketam, Klang.
Sewaktu serbuan tersebut, berlaku tembak-menembak antara pasukan polis dan penjenayah di sebuah bilik hotel.
"Pasukan polis berjaya menembak mati seorang lelaki dan menemui dua senjata api berisi peluru bersama suspek tersebut.
"Semakan mendapati suspek yang dikehendaki ini mempunyai sembilan rekod jenayah termasuk satu kes jenayah dadah dan tujuh kes jenayah samun.
“Suspek turut dipercayai terbabit dalam insiden tembakan di sebuah pusat beli-belah Setia City Mall baru-baru ini," katanya melalui kenyataan.
Dalam kejadian jam 10 malam 8 Februari lalu, suspek dilapor melepaskan empat das tembakan terhadap seorang lelaki yang bekerja sebagai tukang cuci di pusat beli-belah berkenaan semasa berada di Aras P1.
Mangsa yang cedera di punggung dan kakinya menyelamatkan diri, masuk ke dalam pusat beli-belah berkenaan manakala suspek melarikan diri ke Aras P2.
Suspek kemudian melepaskan beberapa lagi tembakan dan terkena pada pintu kaca serta cermin tangga sebelum menahan sebuah kereta.
Suspek mengacukan pistol milik terhadap mangsa yang juga pengunjung pusat beli-belah itu dan memaksa lelaki terbabit membawanya keluar dari kompleks berkenaan.
Suspek melepaskan mangsa dan turun di tepi lebuh raya di Pandamaran Klang lalu melarikan diri.
