Beliau berkata APMM tidak menerima sebarang laporan berkaitan insiden ancaman di Pantai Remis, Perak seperti didakwa dalam beberapa laporan media semalam.
"Sebaliknya, kejadian dilaporkan itu merupakan kes pemerasan oleh pihak tidak bertanggungjawab dari negara jiran terhadap Vesel Nelayan Tempatan (VNT) di kawasan kelabu perairan Selat Melaka," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Rosli berkata pihaknya sentiasa memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia melalui inisiatif seperti rondaan bersama dan eksesais khas di perairan Selat Melaka setiap tahun.
Kerjasama itu berjaya mengurangkan pelbagai ancaman terutamanya jenayah rentas sempadan, katanya.
Semalam, media melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Remis Wong May Ing berkata nelayan di Pantai Remis berdepan ancaman lanun dari Indonesia yang didakwa semakin berleluasa kebelakangan ini.
Kenyataan itu juga memaklumkan rekod penguatkuasaan APMM dari 2006 hingga 2024 menunjukkan 16,259 kes tangkapan dilakukan melibatkan pelbagai kesalahan di laut.
APMM juga berjaya menggagalkan pencerobohan Vesel Nelayan Asing (VNA) sepanjang tempoh itu dengan menahan 1,789 VNA bersama 15,162 kru di perairan negara.
Mohd Rosli juga memberi jaminan rondaan dan pemantauan akan terus diperhebat bagi memastikan perairan negara selamat daripada ancaman jenayah maritim.
Komuniti nelayan diseru untuk memastikan sistem trafik perkapalan (VTS) diaktifkan sepanjang masa selain pemilik vesel menyediakan pengesan lokasi individu (PLB) bagi mengesan vesel jika berlaku kecemasan dan memasang kamera litar tertutup bagi merakam kejadian tidak diingini ketika di laut.
Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat atau aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan perairan negara terus terjamin.
-- BERNAMA
