Ringkasan AI
- Gabungan 30 pertubuhan masyarakat sivil menegaskan perlunya akauntabiliti mandatori platform teknologi dalam melindungi kanak-kanak daripada bahaya digital.
- 94 peratus kanak-kanak Malaysia berumur 12 hingga 17 tahun menggunakan internet setiap hari, meningkatkan risiko pendedahan kepada penderaan seksual, buli siber dan kesan kesihatan mental.
- MAU dan 5Rights mengesyorkan pelaksanaan prinsip reka bentuk selamat serta penilaian impak hak kanak-kanak dalam dasar dan tadbir urus platform digital.
KUALA LUMPUR: Tanggungjawab melindungi kanak-kanak daripada ancaman keganasan serta bahaya dalam talian tidak wajar diletakkan di bahu ibu bapa atau individu semata-mata.
Sebaliknya, beberapa pertubuhan masyarakat sivil (CSO) menegaskan, ia memerlukan iltizam serta akauntabiliti mandatori daripada penyedia platform teknologi gergasi.
Wakil 5Rights Foundation, Marie-Ève Nadeau menegaskan langkah penyelesaian teknikal yang tidak lengkap seperti sekatan had umur mempunyai batasannya yang tersendiri, sebaliknya perlu wujudnya keperluan anjakan paradigma kerana isu keselamatan digital kini melangkaui tanggungjawab individu.
"Sebaliknya, platform teknologi mempunyai kewajipan untuk menghalang teknologinya daripada memudah cara dan menggandakan keganasan, terutamanya ketika kanak-kanak mewakili majoriti warganegara digital yang paling berisiko," katanya.
Pendirian itu ditegaskan menerusi pemukiman dua hari melibatkan 30 pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dari seluruh negara baru-baru ini.
Program berkenaan dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hak kanak-kanak tempatan, Monsters Among Us (MAU) bersama 5Rights Foundation (5R) yang berpangkalan di United Kingdom.
Menurut kenyataan bersama penganjur, dapatan UNICEF Malaysia merekodkan 94 peratus kanak-kanak berumur antara 12 hingga 17 tahun menggunakan internet setiap hari.
Pendedahan berterusan tersebut mencetuskan kebimbangan mendalam terhadap penyebaran bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) yang diperhebat oleh kecerdasan buatan (AI).
Selain itu, golongan muda turut berdepan ancaman buli siber serta impak persekitaran digital yang tidak selamat terhadap tahap kesihatan mental mereka.
Bagi menterjemahkan tuntutan itu ke peringkat dasar, MAU dan 5Rights telah mengadakan sesi libat urus bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri pada 28 Oktober lalu.
Mesyuarat strategik tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah BHEUU (Pembaharuan Undang-Undang), Datuk Thiyagu Ganesan.
"Platform membuat pilihan perniagaan seperti algoritma yang menyebabkan ketagihan sehingga memberi kesan kepada perkembangan kognitif dan psikologi kanak-kanak," tegas kenyataan bersama itu.
Kenyataan itu menambah, "Pilihan perniagaan ini boleh dan mesti dibuat dengan meletakkan hak dan kepentingan terbaik kanak-kanak sebagai pertimbangan utama mereka".
Sehubungan itu, MAU mengesyorkan pelaksanaan prinsip reka bentuk selamat (safe design) di bawah Seksyen 18(3) Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 diperkukuh.
Langkah itu boleh dicapai menerusi instrumen Penilaian Impak Hak Kanak-Kanak (CRIA) dan Uji Tuntas Hak Asasi Manusia (HRDD) di bawah Pelan Tindakan Kebangsaan Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAPBHR) 2025–2030.
Menerusi pemukiman berkenaan, gabungan CSO turut memuktamadkan enam mesej advokasi utama kepada penggubal dasar dan sektor teknologi.
Antara tuntutan yang digariskan termasuk penyertaan bermakna majlis kanak-kanak dan belia dari setiap negeri bagi memastikan pembentukan dasar yang responsif, selain menuntut tadbir urus platform berasaskan HRDD dan CRIA dilaksanakan sejak peringkat awal reka bentuk sistem.
"Keselamatan kanak-kanak adalah pilihan reka bentuk, sejak dari awal dan bukan sekadar pertimbangan terkemudian (afterthought)," jelas gabungan itu menerusi tuntutan berkenaan.
Selain itu, kanak-kanak yang tampil membuat laporan kemudaratan mesti dilindungi daripada sebarang risiko pendakwaan kendiri.
Gabungan itu turut mendesak jaminan hak sama rata dan remedi tanpa diskriminasi, di samping pembinaan ruang digital yang inklusif untuk golongan orang kurang upaya (OKU).
Persidangan itu turut menampilkan pandangan wakil Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) SUHAKAM, Chrystal Foo serta pakar perundangan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Madya Dr. Nadzriah Ahmad.
Hadir sama berkongsi kepakaran ialah Dr Mark Kavenagh dari Evident, Mikkiko Otani (bekas Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak PBB), Dr Kruakae Pothong (Digital Futures for Children) dan James McDougall (Australian Child Rights Taskforce).