Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menekankan pentingnya nilai Islam sebagai asas kekuatan dan maruah masyarakat Melayu, sejajar dengan karya Prof Diraja Syed Muhammad Naquib Al-Attas.
- Anwar menyeru untuk mengatasi kejahilan dengan ilmu, berpegang pada nilai ketamadunan seperti keadilan, kebebasan, moral, dan kemajuan masyarakat.
- Kerajaan berhasrat memperkukuh Perpustakaan ISTAC dengan koleksi lebih 150,000 buku, sebagai inspirasi untuk generasi akan datang.
Beliau berkata ini adalah satu daripada aspek yang perlu terus dijulang sehingga hari ini, dan ia telah diketengahkan dalam beberapa buku yang ditulis oleh ilmuan negara Prof Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas.
"Ini adalah satu aspek yang perlu terus dijulang, terutamanya pada ketika ini, dan bukannya masih khayal dengan 'Melayu hilang kuasa' atau mendabik dada dengan 'Ketuanan Melayu'," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Syarahan Perdana 'Islam: the Covenants Fulfilled' oleh Syed Muhammad Naquib di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini malam ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Prof Dr Alparslan Acikgenc dari Universiti Ibn Khaldun, Turkiye.
Beliau berkata karya agung Syed Muhammad Naquib bertindak sebagai peringatan, mengenai masa depan Islam yang berkaitan dengan kehidupan berdasarkan penguasaan menyeluruh nilai-nilai ketamadunan yang berteraskan keadilan, budaya, kebebasan, moral dan kemajuan masyarakat.
"Paling utama, adalah seruan untuk mengatasi kejahilan dengan pengetahuan, untuk beralih dari kegelapan kepada cahaya, dan semua ini menjadi agenda utama yang sangat penting untuk tamadun yang mulia dan hebat," katanya.
Anwar berkata kerajaan akan mengambil inisiatif untuk menambah baik Perpustakaan Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) dengan koleksi semasa berjumlah lebih 150,000 naskhah buku.
"Mari kita doakan agar generasi akan datang mendapat inspirasi dan mendapat manfaat daripada ilmuan Islam kita, guru kita yang cemerlang, yang dikasihi Prof Diraja Naquib Al-Attas," katanya.
Sebagai seorang murid setia Syed Muhammad Naquib, Anwar berkata ulama itu memberi inspirasi kepadanya untuk pergi lebih jauh, keluar dari zon selesa buku dan pengajiannya, dan mengambil tindakan untuk menjayakan sesuatu.
Beliau berkata buku-buku ulama berkenaan mengenai Islam dan Sekularisme yang diterbitkan lebih empat dekad lepas, mempunyai kesan berpanjangan dalam dirinya dan beliau percaya ia kekal relevan sehingga kini.
-- BERNAMA