KUALA LUMPUR: Seramai empat individu termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan berkaitan penemuan kira-kira 50 tan peluru dan kelongsong dalam serbuan di sebuah kilang memproses sampah elektronik (e-waste) di Telok Panglima Garang di sini pada Sabtu lalu.


Ringkasan AI
  • Empat individu, termasuk seorang wanita tempatan, ditahan selepas serbuan di sebuah kilang e-waste di Telok Panglima Garang, di mana 50 tan peluru dan kelongsong ditemui bersama sisa e-waste yang berbahaya.
  • Kilang tersebut, yang berdaftar atas nama warga tempatan tetapi diuruskan oleh warga China, mengitar semula sisa e-waste berharga untuk dieksport, sementara sisa amunisi yang ditemukan dipercayai dihantar bersama barangan e-waste.
  • Siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960, dan ketiga-tiga suspek lelaki warga asing disambung reman sementara kes diteruskan oleh pihak berkuasa.


Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Malaysia (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya menahan seorang wanita warga tempatan berusia 24 tahun bekerja kerani dan penyelia premis berkenaan.

"Kita turut menahan dua lelaki warga Kemboja dan seorang lelaki warga China berusia 24 hingga 38 tahun berperanan sebagai pekerja," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.

Menurut Azmi, kilang kitar semula itu didaftarkan di bawah nama warga tempatan tetapi diuruskan secara proksi oleh warga China.

"Sisa e-waste mengandungi logam berharga seperti emas, perak, tembaga, platinum, dan paladium, yang mempunyai nilai kitar semula tinggi.

"Ia diproses menjadi jongkong seperti besi, timah dan tembaga sebelum dieksport ke luar negara," katanya.

Menurutnya, hanya sisa amunisi yang dikesan dalam serbuan itu.

"Namun, ancaman sebenar adalah bahaya daripada sisa e-waste yang mengandungi bahan toksik seperti merkuri, plumbum, kadmium, arsenik, bromin, dan berilium, ia boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan dan alam sekitar," katanya.

Azmi berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sumber dan tujuan penghantaran sisa amunisi yang dipercayai telah berada di premis berkenaan sejak sebulan lalu.

"Pengakuan awal individu yang ditahan mendedahkan bahawa sisa amunisi dihantar bersama barangan e-waste lain melalui pelabuhan sebelum diproses di premis tersebut," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek telah dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman.

"Suspek wanita direman, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis, manakala tiga lelaki direman empat hari bermula Ahad sehingga Rabu.

"Tiga suspek itu kemudian disambung reman di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) sehingga 5 Mac ini," kata beliau.

Menurutnya, kesemua barang kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960," ujarnya.

Pada Sabtu lalu, media melaporkan serbuan bermula kira-kira jam 9 pagi itu dijalankan sepasukan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah dengan dibantu Pasukan Gerakan Udara (PGU) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Timbalan Pengarah KDNKA Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi dilaporkan berkata, Op Hazard mengenal pasti kilang ini hasil risikan pihaknya.

Selain barang e-waste, turut menemui 50 beg peluru termasuk anak peluru serta kelongsong di mana setiap satu dianggar seberat satu tan.

Bermula Jun tahun lalu, Sinar Harian menerusi laporan eksklusif melaporkan banyak premis e-waste di sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri yang dipercayai beroperasi secara haram tanpa mendapat kelulusan JAS.

Ada di antaranya berselindung di sebalik operasi mengumpul besi lusuh, namun dalam masa sama mengaut keuntungan dengan mengekstrak, melerai dan melupus e-waste termasuk mempromosikannya di media sosial secara terbuka.

Susulan laporan itu, Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali dalam sidang akhbar memberitahu seorang individu bergelar Datuk antara 55 individu yang ditahan dengan tindakan sitaan bernilai RM43.19 juta hasil serbuan ke atas sindiket memproses e-waste haram pada 5 Ogos di Pahang, Selangor, Negeri Sembilan serta Johor.

Selain itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki juga menyifatkan sindiket memproses e-waste haram berisiko mengakibatkan kes jenayah, salah guna kuasa, rasuah serta kesihatan. - Sinar Harian