PUTRAJAYA: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melaksanakan “Operasi Sifar Tertangguh” bagi tempoh empat bulan terakhir tahun ini dengan menumpukan kepada penyelesaian segera projek, bayaran, isu tanah, utiliti, kontrak, aset dan keputusan yang masih tertangguh.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu penting memandangkan masa yang berbaki bagi 2026 tidak panjang, selain kos sesuatu masalah akan meningkat sekiranya keputusan terus ditangguhkan.
"Baki empat bulan untuk tahun ini, saya mahu kita kurang menambahkan perkara-perkara baharu, dan lebih banyak menyelesaikan apa yang telah kita mulakan.
"(Jadi) saya mahu seluruh bahagian, jabatan dan agensi melaksanakan Operasi Sifar Tertangguh," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, semakan menyeluruh perlu dilakukan dalam bulan ini meliputi semua projek, bayaran, isu tanah, utiliti, kontrak, aset dan keputusan yang masih belum diselesaikan.
"Kemudian saya mahu ia dibahagikan dengan jelas kepada tiga kategori, iaitu yang boleh diselesaikan (selesaikan segera), memerlukan keputusan atau intervensi lebih tinggi dan tetapkan siapa yang perlu membuat keputusan, dan (projek) yang tidak lagi praktikal atau berdaya maju jangan terus simpan dalam sistem tetapi buat keputusan dan tutup," katanya.
Beliau berkata, setiap isu yang dibawa juga mesti mempunyai pihak yang bertanggungjawab, tempoh dan keputusan yang jelas bagi mengelakkan masalah berulang dari satu mesyuarat ke mesyuarat lain tanpa penyelesaian.
Ahmad Zahid berkata, keupayaan melaksanakan sesuatu projek sama penting dengan keupayaan merancang kerana kelulusan dan peruntukan sahaja tidak menjamin manfaat dapat diterima rakyat mengikut masa ditetapkan.
“Kelewatan pengambilan tanah, penyelarasan utiliti, masalah kontraktor, keputusan yang tertangguh atau kelemahan penyelarasan antara agensi boleh mewujudkan jurang pelaksanaan sehingga rakyat tidak menerima manfaat projek pada waktunya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mahu isu pembayaran kepada kontraktor diberi perhatian serius, khususnya bagi kerja yang telah dilaksanakan dan mencapai kemajuan seperti ditetapkan dalam kontrak pembangunan, termasuk projek Jalan Luar Bandar di bawah KKDW.
Beliau berkata, kelewatan bayaran bukan sahaja memberikan tekanan kepada kontraktor, malah boleh menjejaskan aliran tunai pembekal, subkontraktor, pekerja dan penyedia perkhidmatan, sekali gus memberikan kesan kepada keseluruhan rantaian ekonomi di sesuatu kawasan.
Ahmad Zahid berkata, pengurusan fiskal yang baik bukan hanya berkaitan usaha mengawal perbelanjaan, tetapi turut memastikan komitmen yang telah dibuat diurus secara bertanggungjawab supaya keyakinan terhadap kerajaan tidak terjejas.
Dalam keadaan sumber kewangan dan kapasiti pelaksanaan yang terhad, KKDW perlu mengelakkan terlalu banyak projek dimulakan serentak sehingga menyebabkan sebahagian daripadanya gagal diselesaikan dengan baik.
“Lebih baik kita memberikan tumpuan kepada perkara-perkara yang benar-benar diperlukan, menyediakan sumber yang mencukupi dan memastikan ia disempurnakan dengan baik daripada mengejar jumlah projek yang besar tetapi meninggalkan terlalu banyak komitmen yang perlu diselesaikan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, kemampuan sesebuah kerajaan bukan hanya dinilai berdasarkan sebaik mana ia merancang, tetapi sejauh mana ia mampu menyelesaikan masalah rakyat, selaras dengan prinsip KKDW untuk memendekkan jarak antara masyarakat desa dengan peluang, kemajuan dan kehidupan yang lebih baik.
-- BERNAMA