KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sedang mempertimbang penggunaan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) dalam pembinaan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS), kata Timbalan Menterinya Datuk Rubiah Wang.

Beliau berkata ketika ini kajian berkenaan sedang dilaksanakan memandangkan kebanyakan rumah PPRS yang dibina berada di luar bandar, dengan struktur tanah perlu diambil kira dalam reka bentuk rumah.

"Kita pernah fikir guna kaedah baharu ini bagi memastikan pelaksanaan lebih cepat dan murah namun kita perlu buat penilaian lebih teliti bagi memastikan pelaksanaannya nanti tidak menjejaskan khasnya di kawasan jauh di luar bandar yang akan melibatkan kos dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjung Manis) di Dewan Rakyat hari ini, sama ada kerajaan bercadang menggunakan kaedah IBS bagi membina rumah dengan lebih cepat dan murah susulan permohonan tinggi untuk PPRS.

Menjawab soalan asal Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) berhubung syarat permohonan PPRS, Rubiah berkata ketika ini kriteria kelayakan masih dikekalkan dengan keutamaan diberikan kepada Orang Kurang Upaya, ibu atau bapa tunggal yang mempunyai tanggungan ramai dan mangsa bencana berskala kecil.

Beliau berkata tahun ini RM464.45 juta diperuntukkan untuk membina 2,703 PPRS baharu dan 10,281 bagi membaik pulih.

Rubiah berkata permohonan boleh dikemukakan melalui pelbagai saluran sama ada secara individu, sistem e-Kasih serta Pejabat Daerah dan tertakluk kepada kesediaan peruntukan.

-- BERNAMA