IKLAN kemerdekaan tidak menjual produk dan penampilan imej organisasi sahaja. Ia mempromosikan sebuah gambaran tentang Malaysia. Rakyatnya berbeza tetapi bersatu, saling membantu dan menghormati. Namun selepas 69 tahun merdeka, mampukah gambaran indah itu diterjemahkan daripada skrin kepada realiti kehidupan dan kepimpinan?
Setiap kali Ogos menjelang, wajah Malaysia disemarakkan dengan kibaran Jalur Gemilang, lagu patriotik yang berkumandang dan kisah pengorbanan serta perpaduan kembali memenuhi ruang media.
Menariknya, iklan kemerdekaan hari ini banyak yang hadir dalam bentuk filem pendek, kempen dan mesej tanggungjawab sosial korporat yang mengangkat cerita manusia, hubungan kaum, emosi dan nilai bersama yang kadang kala terselit halus sindiran sosial, realiti hidup yang sering kita sembunyikan.
Antara yang menarik ialah Tin Sardin oleh Indah Water Konsortium yang mengisahkan sebuah keluarga Melayu di kampung yang berdepan kesukaran hidup selepas kehilangan bapa, seorang askar yang gugur mempertahankan negara. Malah seorang ibu yang kekal menjaga maruah keluarga; mendidik anak-anak tanpa meminta-minta apatah lagi mengambil sesuatu yang bukan hak mereka.
Nadi Inspirasi Kami oleh CelcomDigi pula mengetengahkan keindahan Malaysia melalui semangat membantu tanpa mengira kaum dan asal usul. Manakala Saya Taula oleh BHPetrol menggunakan perspektif Shakoor Rahman, seorang warga Bangladesh yang telah lama bekerja di Malaysia, untuk memperlihatkan sisi masyarakat Malaysia yang lebih rapat dan bersatu daripada gambaran yang kadangkala muncul di media sosial.
Pendekatan ini berkesan kerana penonton tidak sekadar diberitahu tentang perpaduan, tetapi diajak merasainya melalui cerita. Ini hanya beberapa contoh iklan.
Berbeza, tetapi tetap bersama
Tema kepelbagaian kaum dan agama menjadi kekuatan utama iklan-iklan tersebut. Jangan Kau Kata oleh PETRONAS mengetengahkan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan mencabar stereotaip yang sering dikaitkan dengan kelompok tertentu, sambil menunjukkan bahawa tradisi terus hidup walaupun zaman berubah.
Mesejnya sederhana tetapi mendalam: perpaduan tidak bermaksud kita perlu menjadi sama.
Kita boleh berbeza agama tanpa menghina, berbeza budaya tanpa merendahkan dan berbeza pandangan tanpa bermusuhan.
Penggunaan keluarga, sahabat dan kanak-kanak pula menjadikan mesej lebih dekat dengan kehidupan. Kanak-kanak khususnya membawa simbol masa depan; seolah-olah iklan bertanya kepada kita ‘Malaysia yang bagaimana yang hendak kita wariskan kepada mereka?’
Daripada pengorbanan kepada teknologi
Latar iklan turut membawa penonton merentasi masa.
Tin Sardin membawa kita kepada kehidupan yang serba sederhana dan kesukaran generasi terdahulu menjalani kehidupan. Sebaliknya, Generasi Malaysia oleh AmBank membawa kita kepada Malaysia dalam era kecerdasan buatan (AI), tetapi mengingatkan bahawa keunikan Malaysia tidak berubah hanya kerana teknologi.
Sementara itu, Cuba Dulu, Ceria Selalu oleh Lotus’s mengangkat kecenderungan rakyat mencuba perkara baharu dan saling menyokong. Orang Kita oleh Farm Fresh pula menggabungkan suasana keluarga dan persahabatan. Lucu namun kisah benar. Juga keterujaan menyertai perarakan Hari Kemerdekaan dengan penghargaan terhadap pengorbanan generasi terdahulu. Watak-watak pelbagai kaum dan agama yang serasi mengindahkan jalan cerita.
Kesemuanya mempunyai satu persamaan: Malaysia dipersembahkan melalui rakyatnya iaitu manusia yang saling berperanan, bukan sekadar simbol.
Jalur Gemilang: simbol atau amalan?
Dalam hampir semua naratif kemerdekaan, Jalur Gemilang menjadi simbol penting. Ia dikibarkan dengan bangga bersama laungan “Merdeka!”, wajah ceria dan suasana kebersamaan.
Kita mungkin berbeza kaum, agama, bahasa dan budaya. Namun di bawah Jalur Gemilang, kita berkongsi satu identiti rakyat Malaysia.
Namun di sinilah kita perlu berhenti sejenak dan bermuhasabah.
Apakah ertinya kita bangga mengibarkan Jalur Gemilang jika kita masih gagal menghormati manusia yang turut mengibarkannya?
Apakah ertinya melaungkan “Merdeka!” jika kita masih terbelenggu oleh prasangka, penghinaan dan kebencian?
Patriotisme seharusnya bukan sekadar bagaimana kita mengibarkan bendera, tetapi bagaimana kita melayan manusia yang berdiri di sebelah kita.
Indah di skrin, bagaimana dalam realiti?
Sebagai penonton, saya sendiri tersentuh melihat Malaysia yang digambarkan dalam iklan; harmoni, ceria, saling membantu dan menghormati. Kita boleh tersenyum manis. Kita juga boleh beremosi sedih.
Namun apabila skrin dimatikan, kita kembali kepada realiti.
Dalam ruang awam dan wacana politik, kita masih menyaksikan bahasa kasar, budaya saling mencela, tuduhan, fitnah serta kenyataan yang boleh menyentuh sentimen perkauman.
Kita tahu wajah Malaysia yang kita mahu. Persoalannya, sudahkah kita benar-benar hidup sebagai Malaysia yang kita gambarkan itu?
Persoalan ini bukan bermaksud menafikan usaha korporat. Sebaliknya, kempen sebegini wajar dihargai kerana iklan mempunyai kuasa membentuk imaginasi sosial dan menunjukkan nilai yang kita mahu lihat dalam masyarakat.
Tetapi perpaduan tidak boleh berhenti sebagai naratif pemasaran bermusim.
Kepimpinan melalui teladan
Jika iklan boleh mengajar rakyat menghormati perbezaan, kepimpinan juga perlu menunjukkan teladan.
Jika rakyat diminta menjaga tutur kata, wacana kepimpinan perlu menjadi contoh.
Jika rakyat diminta menolak stereotaip perkauman, bahasa politik juga perlu matang dan bertanggungjawab.
Dan jika rakyat diminta bersatu, perbezaan fahaman politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk saling kasar dalam bicara.
Ini tidak bermakna perbezaan pandangan perlu dihapuskan. Demokrasi memerlukan perbezaan pendapat sebagai timbang tara dalam menemukan solusi terbaik pelbagai perkara.
Kita boleh berdebat tanpa menghina, mengkritik tanpa memfitnah dan tidak bersetuju namun masih harmoni.
Daripada skrin kepada kehidupan
Selepas 69 tahun merdeka, mungkin kita tidak lagi memerlukan slogan untuk memberitahu bahawa Malaysia ialah negara yang pelbagai.
Kita sudah tahu.
Cabaran kita ialah memastikan kepelbagaian itu menjadi kekuatan, bukan punca perpecahan.
Jalur Gemilang yang kita kibarkan perlu menjadi simbol tanggungjawab bersama. Laungan “Merdeka!” perlu menjadi peringatan bahawa kita juga perlu membebaskan diri daripada prasangka, kebencian dan perkauman.
Dan kepimpinan perlu menunjukkan bahawa perpaduan bukan sesuatu yang hanya dituntut daripada rakyat, tetapi sesuatu yang terlebih dahulu dicontohkan oleh mereka yang memimpin.
Malaysia yang kita mahu bukan sekadar Malaysia yang kelihatan indah dalam iklan. Bukan kerana watak-watak yang dipilih. Bukan kerana latarnya yang mengimbau kenangan semata, atau cantik pesatnya Malaysia yang sudah nyata.
Kita mahu Malaysia yang indah dalam kehidupan sebenar; berbeza tetapi tidak bermusuhan, bebas bersuara tetapi bertanggungjawab, dan berpolitik tanpa mengorbankan keharmonian. Menikmati kesejahteraan hidup dengan ekonomi yang baik.
Jika iklan boleh mencipta sebuah Malaysia yang begitu indah dalam beberapa minit, selepas 69 tahun merdeka, bukankah sudah tiba masanya kita bersama-sama menjadikan gambaran itu sebuah realiti?
*Artikel ini tulisan Rahmahtunnisah Sailin, Pensyarah Komunikasi dan Media, Fakulti Sains Sosial Universiti Islam Selangor (UIS).
**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.