Skip to main content

Malaysia

Komen melampau di media sosial, Polis Kelantan buka tiga kertas siasatan

Seorang suspek lelaki telah ditahan berhubung kes berkenaan, manakala dua lagi kes masih dalam siasatan dan suspek telah dikenal pasti. - Gambar fail
Seorang suspek lelaki telah ditahan berhubung kes berkenaan, manakala dua lagi kes masih dalam siasatan dan suspek telah dikenal pasti. - Gambar fail

Advertisement

TUMPAT: Polis membuka tiga kertas siasatan berhubung komen melampau dalam media sosial berkaitan isu penguatkuasaan yang didakwa boleh menggugat ketenteraman awam dan menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata seorang suspek lelaki telah ditahan berhubung kes berkenaan, manakala dua lagi kes masih dalam siasatan dan suspek telah dikenal pasti.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis tidak pernah menolak kritikan atau teguran yang bertujuan untuk penambahbaikan dan menjaga kepentingan umum.

"Bagaimanapun, tindakan akan diambil terhadap kenyataan berbentuk penghinaan, fitnah atau tuduhan melampau yang boleh menjejaskan ketenteraman awam,” katanya pada sidang media selepas membuat rondaan di perairan negara di Jeti Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sebanyak 42 individu ditahan di Kelantan tahun ini kerana kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Daripada jumlah itu, dua individu ditahan bagi kesalahan antipemerdagangan orang, manakala 40 lagi membabitkan kesalahan antipenyeludupan migran.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement