Skip to main content

Malaysia

Kota Laksamana berpotensi jadi ibu negeri baharu Melaka - Ab Rauf

Ab Rauf berkata perancangan pembangunan itu turut melibatkan kawasan di bawah Zon Ekonomi Pesisiran Pantai Selat Melaka (SM-WEZ) yang merangkumi pembangunan perniagaan, perumahan, perubatan dan pelancongan. -Gambar fail/Bernama
Ab Rauf berkata perancangan pembangunan itu turut melibatkan kawasan di bawah Zon Ekonomi Pesisiran Pantai Selat Melaka (SM-WEZ) yang merangkumi pembangunan perniagaan, perumahan, perubatan dan pelancongan. -Gambar fail/Bernama
Advertisement

MELAKA: Kota Laksamana berpotensi menjadi ibu negeri baharu Melaka berikutan pembangunan pesat di kawasan berkenaan yang mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan mengubah landskap pembangunan negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata ketika ini, pihaknya telah membuat perancangan lima tahun ke hadapan pembangunan Kota Laksamana dan akan bekerjasama dengan pihak swasta sebagai usaha ke arah merealisasikan potensi itu.

"Perancangan ini semua dah ada kecuali kita tidak dapat lagi mengintegrasikannya kerana konsesi-konsesi ini dibahagikan kepada syarikat swasta yang menjalankan projek secara PFI (Inisiatif Pembiayaan Swasta) memandangkan ia di luar kawalan kita kerana mereka telah membeli tanah-tanah tersebut.

Advertisement

"Cuma kerajaan negeri akan membuat koordinasi (dengan pihak swasta) dan memberikan segala kemudahan serta mengurangkan birokrasi supaya dapat mempercepat suntikan ekonomi di kawasan Kota Laksamana," katanya kepada pemberita di Jalan Hang Tuah, di sini, hari ini.

Ab Rauf berkata perancangan pembangunan itu turut melibatkan kawasan di bawah Zon Ekonomi Pesisiran Pantai Selat Melaka (SM-WEZ) yang merangkumi pembangunan perniagaan, perumahan, perubatan dan pelancongan.

Advertisement

"Saya memohon agar (rakyat dapat) bersama dengan saya untuk membangunkan Melaka, membangunkan Kota Laksamana sebagai nafas baharu untuk dijadikan sebagai ibu negeri Melaka," katanya.

Mengulas mengenai persiapan menghadapi Monsun Timut Laut, Ab Rauf berkata kerajaan negeri memperkukuh kesiapsiagaan mendepani risiko banjir termasuk mengenal pasti 102 lokasi hotspot banjir di seluruh Melaka.

Beliau berkata lokasi itu dikenal pasti berdasarkan rekod kejadian banjir berulang sekurang-kurangnya tiga kali dalam tempoh tiga tahun.

"Antara langkah kesiapsiagaan yang dilaksanakan ialah pemantauan banjir selama 24 jam melibatkan enam lembangan sungai utama selain merekodkan data hujan dan paras air sungai secara berterusan.

“Pengukuhan sistem amaran awal turut dilaksanakan menerusi pemasangan 14 siren amaran banjir dan 10 kamera pemantauan di lokasi strategik seluruh Melaka,” katanya. 

Ab Rauf berkata kerajaan negeri turut memastikan kesiapsiagaan aset kawalan banjir melibatkan 21 pintu kawalan air, 21 rumah pam dan 14 pam kecemasan mudah alih yang boleh digerakkan ke kawasan kritikal selain pemantauan infrastruktur melibatkan 105 kolam takungan banjir.

Beliau berkata sebanyak 447 kerja-kerja kecil bernilai RM43.8 juta turut dilaksanakan sepanjang tahun ini sebagai sebahagian usaha memperkukuh infrastruktur pengurusan banjir dan mengurangkan risiko bencana.

Sehubungan dengan itu, penduduk khususnya di pesisir pantai diminta supaya berwaspada berikutan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku hingga 17 Nov ini dan berpotensi menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah.

"Kerajaan negeri akan terus menyalurkan hebahan dan amaran awal melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka bagi memastikan tindakan kecemasan dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement