Norena berkata daripada jumlah itu, kes tertinggi direkodkan ialah di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu sebanyak 30 kes, Akta Kawalan Bekalan 1961 (tujuh kes), Akta Timbang dan Sukat 1972 (tujuh kes), Akta Perlindungan Pengguna 1999 (lima kes) dan Akta Cap Dagang 2019 (satu kes).
Beliau seterusnya berkata dalam tempoh sama juga, pihaknya turut mengeluarkan kompaun bernilai RM12,000 kepada peniaga dan merampas pelbagai barangan serta produk makanan bernilai RM5,679.40.
"Tidak sampai sebulan, sebanyak 50 kes direkodkan dan antara kesalahan tertinggi dikesan dilakukan peniaga ialah tiada tanda harga selain menaikkan harga tanpa alasan munasabah.
"Kesemua kesalahan berkenaan dikesan menerusi pemantauan berkala dijalankan anggota penguat kuasa di premis perniagaan sekitar Melaka selain aduan pengguna," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2025 yang disempurnakan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin.
Norena berkata sebanyak 2,955 premis perniagaan telah diperiksa dan 64 aduan kepenggunaan telah diterima dalam tempoh 1 hingga 23 Jan lepas.
Dalam pada itu, beliau berkata kopitiam atau kedai kopi di Melaka, khususnya di kawasan tumpuan pelancong adalah antara premis perniagaan yang banyak dikesan menaikkan harga sehingga 60 peratus dalam tempoh setahun, pada tahun lepas.
"Sepanjang tempoh setahun lepas, kebanyakan premis kopitiam jenis francais atau kedai kopi kecil di kawasan perumahan dilaporkan menaikkan harga antara tiga hingga empat kali secara berperingkat dengan 10 peratus bagi setiap kenaikan.
"Taktik berkenaan bertujuan mengelak dikesan pengguna, namun perbuatan itu gagal disembunyikan kerana kesalahan itu dilaporkan pelanggan tetap premis berkenaan selain menerusi pemantauan yang dilakukan anggota penguat kuasa KPDN," katanya.
Seterusnya beliau berkata pemantauan dan pemeriksaan lebih berkala akan diberi perhatian ke atas premis perniagaan terlibat, khususnya di daerah Melaka Tengah yang dikesan terdapat lebih 100 kopitiam atau kedai kopi.
-- BERNAMA