Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata setakat semalam terdapat 1,700 pasar raya dan kedai runcit menjadi pelaksana SARA, sekali gus memudahkan rakyat membuat pembelian di premis berkenaan.
"Selaku kementerian bertanggungjawab pada jualan runcit, kita bekerjasama dengan MOF khususnya di Sabah dan Sarawak kerana kita tahu keadaan geografi serta infrastruktur. Kita mahu lebih banyak premis pelaksana SARA khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar agar rakyat di kawasan itu tidak perlu pergi jauh untuk membuat pembelian.
"Pada 2025, pelaksanaan SARA diperluaskan ke Sabah dan Sarawak, bantuan SARA dikreditkan setiap bulan dalam MyKAD penerima berbanding kaedah pemberian tunai dua kali setahun sebelum ini. Jadi, ini kita akan buat setelah 340 premis di Sabah dan 320 premis di Sarawak terlibat dalam pelaksanaan SARA," katanya kepada pemberita selepas Program Jualan Rahmah MADANI di sini hari ini.
Armizan berkata tahun ini Kerajaan MADANI memperuntukkan RM13 bilion untuk program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA dengan masing-masing berjumlah RM8 bilion dan RM5 bilion.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan usaha Sabah serta Sarawak dalam melaksanakan pendekatan khusus menangani kos sara hidup di dua wilayah berkenaan sebagai selari dengan usaha kerajaan Persekutuan dalam meringankan beban rakyat.
"Terima kasih kepada kerajaan Sabah dan Sarawak yang melaksanakan program khusus membantu rakyat menangani kos sara hidup dengan pemberian bantuan tunai kepada penerima layak pada tahun ini.
"Di Sabah program itu adalah Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR), manakala di Sarawak dengan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS)," katanya.
Armizan berkata kerajaan berusaha melaksanakan pelbagai strategi dan pendekatan merentasi kementerian serta agensi dalam menangani isu kos sara hidup rakyat.
-- BERNAMA
