PUTRAJAYA: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan meneliti cadangan memperkukuh kerjasama dengan Indonesia termasuk melalui Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) dalam usaha mencegah dan mengawal kebakaran hutan dan tanah.
Dalam kenyataan hari ini, kementerian itu memaklumkan kerjasama berkenaan boleh merangkumi perkongsian maklumat serta usaha pencegahan dan pengawalan kebakaran di Kalimantan, susulan laporan yang mengaitkan syarikat perladangan Malaysia dengan kejadian kebakaran hutan dan tanah di Indonesia.
Menurut KPK, pihaknya memandang serius laporan Greenpeace dan Pantau Gambut berhubung perkara itu, termasuk kebimbangan terhadap kesannya kepada kesihatan awam dan alam sekitar.
“KPK melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah mengadakan sesi libat urus dengan enam syarikat Malaysia pada 10 Sept lepas bagi mendapatkan maklumat mengenai situasi kebakaran serta langkah pencegahan dan pengawalan di kawasan operasi masing-masing,” tambah KPK.
Menurut kementerian itu, maklum balas berkala turut diperoleh bagi mengikuti perkembangan semasa.
Berhubung laporan yang mengaitkan PT Menteng Jaya Sawit Perdana (PT MJSP), anak syarikat Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK), dengan kebakaran berkenaan, KPK berkata pihaknya telah mengambil maklum penjelasan rasmi KLK bertarikh 6 Okt.
Menurut KLK, PT MJSP mengamalkan dasar Sifar Pembakaran dan tidak menjalankan aktiviti penanaman semula. Majoriti kebakaran yang berlaku juga dikatakan berpunca dari luar kawasan konsesi.
KLK turut memaklumkan langkah pencegahan dan pengawalan kebakaran turut dilaksanakan.
KPK juga menegaskan bahawa syarikat Malaysia yang beroperasi di luar negara hendaklah mematuhi undang-undang negara berkenaan serta melaksanakan langkah pencegahan dan pengawalan kebakaran secara berkesan, termasuk menangani risiko api merebak di kawasan sekitar.
Dalam hal ini, kementerian itu memaklumkan MPOB akan terus mengikuti perkembangan semasa dan mendapatkan maklumat terkini daripada syarikat Malaysia yang beroperasi di Kalimantan.
KPK turut menegaskan komitmennya untuk memastikan industri sawit beroperasi secara mampan dan bertanggungjawab, dengan mengutamakan kesihatan awam dan melindungi alam sekitar.
-- BERNAMA