KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan (KPM) merancang menyediakan sekurang-kurangnya satu padang lengkap untuk kegunaan secara guna sama oleh sekolah dalam setiap zon bagi mengatasi kekurangan kemudahan itu, khususnya di kawasan bandar dan padat penduduk.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, penyediaan padang itu antara fokus KPM dalam usaha memastikan murid berpeluang mengembangkan potensi dalam bidang sukan dan permainan.
Beliau berkata, keperluan terhadap padang semakin mencabar di sekolah kawasan bandar dan berpenduduk padat berikutan kekurangan ruang apabila terdapat keperluan pembinaan bangunan baharu.
“Antara strategi dan perancangan KPM ialah kita memastikan setiap zon mempunyai satu padang yang lengkap sebagai kompleks sukan. Jadi ia boleh guna sama oleh sekolah-sekolah sekitar,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan bas di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat, di sini, hari ini.
Mohd Azam berkata, pendekatan itu membolehkan kemudahan sukan tersebut dikongsi secara optimum antara sekolah tanpa setiap sekolah perlu mempunyai padang sendiri, khususnya di kawasan mempunyai kekangan tanah.
Beliau berkata, KPM turut mempertimbangkan penyediaan dewan terbuka di sekolah tidak mempunyai padang untuk pelaksanaan aktiviti sukan, permainan dan kokurikulum.
Beliau berkata, perancangan itu antara usaha KPM memastikan kemudahan sekolah terus memenuhi keperluan murid dan mewujudkan persekitaran pembelajaran lebih selesa.
Dalam pada itu, Mohd Azam berkata, kemudahan seperti padang dan pengangkutan di institusi pendidikan lain termasuk Kolej Vokasional (KV) juga boleh digunakan secara guna sama oleh sekolah berhampiran.
Pendekatan itu, menurut beliau, penting bagi memastikan murid dan guru mempunyai kemudahan mencukupi untuk menjalankan aktiviti kokurikulum serta menyertai pertandingan di luar sekolah.
-- BERNAMA