Ringkasan AI
- Kementerian Pendidikan akan meneliti isu syarikat berkongsi alamat pendaftaran susulan dakwaan kemungkinan wujud kartel dalam tender Perkhidmatan Bekalan Makanan Bermasak Fasa Dua.
- 245 tender telah diiklankan dengan 242 diberikan kepada syarikat berjaya, dua dibatalkan dan satu ditangguhkan, tanpa sebarang penarikan balik keputusan muktamad.
- KPM menegaskan semua syarikat dipilih memenuhi syarat pendaftaran, penilaian dibuat berdasarkan pengalaman, pematuhan teknikal dan keupayaan melaksanakan kontrak.
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti isu syarikat yang berkongsi alamat pendaftaran sama susulan dakwaan kemungkinan wujud kartel atau pakatan sulit dalam perolehan tender Perkhidmatan Bekalan Makanan Bermasak (BMB) Fasa Dua Tahun 2026 bagi tempoh 2027 hingga 2029.
Ketua Setiausaha KPM Datuk Wan Hashim Wan Rahim berkata pihaknya memandang serius dakwaan berkenaan dan bersedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya penelitian atau siasatan lanjut diperlukan.
Beliau bagaimanapun berkata dakwaan kewujudan kartel atau pakatan sulit perlu dinilai berdasarkan fakta dan bukti sahih, bukan hanya berpandukan persamaan alamat pendaftaran atau latar belakang perniagaan syarikat semata-mata.
“Sebarang perkara yang boleh menimbulkan keraguan terhadap integriti proses perolehan, termasuk hubungan antara petender, kemungkinan pertindihan kepentingan dan corak penyertaan dalam tender akan diteliti sewajarnya bagi memastikan ketelusan serta integriti proses perolehan sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan berhubung keputusan tender BMB Fasa Dua.
Wan Hashim berkata sebanyak 245 tender telah diiklankan melibatkan 62,641 petender bagi tender BMB Fasa 2, dengan 242 tender diberikan kepada syarikat yang berjaya, dua dibatalkan bagi kerja menaik taraf blok asrama dan satu ditangguhkan susulan perubahan tarikh kuat kuasa kontrak.
Beliau berkata KPM turut menegaskan tiada sebarang penarikan balik terhadap keputusan yang telah dimuktamadkan secara sah bagi tender BMB Fasa 2 manakala maklumat rasmi berkaitan keputusan perolehan boleh disemak menerusi portal MyProcurement.
Mengenai jurang nilai kontrak, beliau menjelaskan kontrak tertinggi mencecah RM38.7 juta melibatkan sekolah sukan yang memerlukan menu bernutrisi tinggi dan seimbang yang telah diluluskan kerajaan bagi memenuhi keperluan pemakanan bakal atlet negara berprestasi tinggi.
“Kos sajian harian di sekolah sukan berkenaan dianggarkan antara RM90.84 hingga RM92.93 bagi seorang murid sehari manakala kontrak bernilai lebih rendah melibatkan sekolah rendah atau menengah biasa dengan anggaran harga antara RM26.10 hingga RM31.65 bagi seorang murid sehari.
“Justeru, perbezaan nilai kontrak itu perlu dilihat berdasarkan keperluan dan spesifikasi perkhidmatan setiap institusi, termasuk jumlah murid serta keperluan pemakanan yang ditetapkan,” katanya.
Wan Hashim ketika mengulas mengenai kelayakan pembekal berkata semua syarikat yang berjaya mempunyai pendaftaran sah dengan Kementerian Kewangan di bawah Kod Bidang 040103 bagi Makanan Bermasak Islam.
Beliau berkata penilaian syarikat tidak dibuat berdasarkan nama atau profil perniagaan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira pengalaman, pematuhan teknikal dan keupayaan melaksanakan kontrak.
Menurut Wan Hashim, syarikat yang menggunakan alamat kediaman sebagai alamat pendaftaran menyediakan makanan sepenuhnya melalui konsep sedia, masak dan hidang di dapur sekolah atau institusi berkaitan, bukannya di premis pembekal.
“Bagaimanapun, KPM mengambil maklum berhubung dapatan syarikat yang berkongsi alamat pendaftaran yang sama dan perkara ini akan diteliti secara lanjut bagi memperkukuh tadbir urus tender kementerian,” katanya.
Beliau turut menjelaskan syarikat yang dipilih wajib mempunyai modal pusingan sekurang-kurangnya tiga hingga lima peratus daripada nilai anggaran kontrak, selain penyata kewangan mereka disemak silang dengan institusi perbankan sebelum Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan.
Sementara itu, Wan Hashim turut menafikan dakwaan tender BMB di Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Badong, Kedah diberikan kepada syarikat beralamat di Terengganu.
“Semakan silang maklumat pendaftaran di dalam sistem e-Perolehan mendapati petender yang berjaya bagi SMK Seri Badong mempunyai alamat berdaftar di Yan, Kedah. Setiap tender dinilai berdasarkan syarat dan kriteria yang telah ditetapkan bagi memastikan proses perolehan dilaksanakan secara teratur, telus dan adil,” katanya.
Beliau berkata KPM komited memastikan setiap perolehan mematuhi tatakelola demi menjamin kualiti pemakanan, keselamatan serta kebajikan murid di seluruh negara sentiasa berada pada tahap terbaik.
-- BERNAMA