PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa memantau keselamatan dan kebajikan pelajar Malaysia yang kini sedang melanjutkan pengajian di Asia Barat susulan konflik di rantau berkenaan.
Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, setakat ini, KPT belum menerima sebarang maklumat mengenai keadaan pelajar Malaysia di Asia Barat yang terjejas akibat krisis itu.
“Apa jua perihal, kita akan mendapatkan panduan daripada Kementerian Luar bagi memastikan perjalanan pelajar-pelajar dan keadaan mereka yang sedang belajar di sana.
“Dalam krisis yang melibatkan Iran ini, kita tahu dasar luar Trump ini sentiasa berubah-ubah. Hari ini mungkin keputusannya begini, esok mungkin berbeza. Namun kami tetap akan mengambil semua langkah berjaga-jaga,” katanya selepas menyempurnakan Program Karisma Antarabangsa: Kenegaraan Malaysia Madani 2026, di sini, pada Isnin.
Program itu menghimpunkan seramai 456 pelajar tempatan yang bakal melanjutkan pengajian ke Mesir, Maghribi dan Jordan, dijadual berlepas 1 September ini.
Beliau berkata, setakat ini KPT tidak menerima maklumat yang menunjukkan keadaan di tiga negara berkenaan boleh menjejaskan pelajar Malaysia, namun pihaknya bersedia mengambil tindakan segera sekiranya terdapat sebarang perkembangan.
“Kami telah memastikan semua pejabat Education Malaysia, termasuk di Mesir dan Jordan, sentiasa bersedia. Bagi Maghribi pula, walaupun kita tidak mempunyai pejabat Education Malaysia di sana, urusannya diselaraskan melalui pejabat di Mesir,” katanya.
Zambry menambah, Malaysia kini menjadi destinasi pelajar dari kira-kira 180 negara, sekali gus mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap kualiti sistem pendidikan tinggi negara.
“Pencapaian ini bukti institusi pengajian tinggi tempatan terus mendapat pengiktirafan global dan tidak hanya bergantung kepada kemasukan pelajar dari sesebuah negara tertentu,” katanya.