Ringkasan AI
- Lonjakan harga bahan api global akibat krisis geopolitik dan gangguan di Selat Hormuz menyebabkan kos penjanaan elektrik meningkat di Semenanjung Malaysia.
- Kerajaan memperluas perlindungan bil elektrik kepada pengguna domestik dengan penggunaan sehingga 800 kWj sebulan dari 1 September hingga 31 Disember 2026.
- Langkah ini memberi manfaat kepada kira-kira 8 juta pengguna domestik, bersamaan 90 peratus pengguna di Semenanjung Malaysia.
KUALA LUMPUR: Lonjakan harga bahan api dunia susulan krisis geopolitik di Asia Barat, khususnya gangguan keselamatan di Selat Hormuz telah mengakibatkan kos bahan api seperti gas dan arang batu pada suku kedua dan ketiga 2026 meningkat jauh melangkaui paras harga asas.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kos bahan api berkenaan melonjak jauh melangkaui harga asas yang telah ditetapkan semasa penetapan tarif asas di bawah kerangka Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) bagi tempoh kawal selia keempat (RP4) 2025 hingga 2027.
“Lonjakan harga bahan api ini telah menyebabkan peningkatan kos penjanaan elektrik di Semenanjung dan diterjemahkan kepada kadar surcaj Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) dalam bil elektrik pengguna,” kata beliau pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai antara faktor utama yang mendorong peningkatan mendadak caj bayaran elektrik isi rumah domestik kebelakangan ini serta bagaimana situasi semasa tersebut selaras dengan jaminan Suruhanjaya Tenaga (ST).
Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata faktor lain yang mendorong kepada kenaikan mendadak caj bayaran elektrik isi rumah adalah keadaan cuaca panas yang berpanjangan dan pengurangan kapasiti penjanaan sebahagian loji jana kuasa.
“Akibat keadaan suhu persekitaran semasa yang lebih panas dan berpanjangan, kekerapan dan tempoh penggunaan peralatan elektrik yang berkapasiti besar khususnya penyaman udara telah meningkat secara mendadak.
“Pada masa yang sama, faktor lain seperti pengurangan penjanaan daripada sumber hidro disebabkan keadaan cuaca panas berpanjangan dan henti tugas berjadual di loji jana kuasa arang batu turut mengakibatkan kebergantungan operasi yang lebih tinggi kepada penggunaan gas asli cecair (LNG) yang diimport.
“Oleh itu, kos pembelian bahan api bagi penjanaan elektrik yang terpaksa ditanggung semasa krisis adalah lebih tinggi daripada kos yang diunjurkan dalam tempoh RP4,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan mengambil perhatian serius mengenai peningkatan bil elektrik bagi sesetengah pengguna domestik di Semenanjung.
“Tumpuan utama kerajaan sejak krisis bekalan global ini bermula adalah memastikan supaya kenaikan kos tersebut tidak ditanggung sepenuhnya oleh rakyat.
“Justeru, kerajaan pada 18 Sept lepas telah mengumumkan perluasan perlindungan bil elektrik kepada pengguna domestik yang berkuat kuasa dari 1 Sept 2026 hingga 31 Dis 2026.
“Dalam konteks ini, pengguna domestik yang merekodkan penggunaan elektrik sehingga 800 kilowatt-jam (kWj) sebulan bersamaan dengan anggaran bil bulanan sebanyak RM328 ke bawah dikecualikan sepenuhnya daripada dikenakan pelarasan surcaj AFA, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta Caj Peruncitan,” katanya.
Fadillah berkata langkah yang dilaksanakan kerajaan itu memberi manfaat kepada kira-kira 8 juta pengguna domestik yang bersamaan dengan 90 peratus pengguna domestik di Semenanjung dan selaras dengan jaminan ST pada April lepas yang menyasarkan sekurang-kurangnya 85 peratus pengguna domestik akan kekal dilindungi.
“Pengguna yang menggunakan di bawah 1,000 kwj sebulan layak menerima rebat di bawah skim insentif cekap tenaga yang diperkenalkan di bawah penstrukturan tarif baharu yang telah berkuat kuasa pada 1 Julai 2025.
“Insentif ini bertujuan menggalakkan penggunaan elektrik secara cekap tenaga,” katanya.
-- BERNAMA