KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti di luar antara 11 pagi hingga 4 petang apabila sinaran ultraungu (UV) matahari lazimnya mencapai tahap maksimum, ketika negara sedang melalui Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan hingga September ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perhatian perlu diberikan kepada kanak-kanak, warga emas serta individu yang banyak bekerja di luar bangunan dalam keadaan cuaca lebih panas, kurang hujan dan langit yang lebih cerah ketika ini.
“Lapisan ozon adalah pelindung semula jadi bumi daripada sinaran UV matahari. Namun, tahap sinaran UV yang sampai ke permukaan turut dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk kedudukan matahari, litupan awan, kandungan ozon dan keadaan atmosfera semasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pengurusan Bencana Negara berkata selain mengurangkan aktiviti di luar, beberapa langkah mudah boleh diamalkan, termasuk menggunakan krim pelindung matahari dengan SPF 30 atau lebih, memakai pakaian bersesuaian, topi dan cermin mata hitam dengan perlindungan UV serta memastikan pengambilan air mencukupi.
“Sentiasalah peka dengan keadaan semasa dan ikuti maklumat serta nasihat yang dikeluarkan oleh MetMalaysia. Jaga diri, jaga keluarga dan jangan ambil mudah apabila berada terlalu lama di bawah sinaran matahari,” katanya.
-- BERNAMA