SEREMBAN: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyalurkan pembiayaan berjumlah RM346.28 juta kepada 9,937 usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta koperasi di Negeri Sembilan sepanjang 2024.

Menteri berkenaan Datuk Ewon Benedick berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan berbandingRM340.26 juta yang disalurkan kepada 6,451 usahawan dan koperasi pada tahun sebelumnya.

"Pembiayaan ini disalurkan melalui agensi di bawah KUSKOP termasuk Bank Rakyat, TEKUN Nasional, SME Bank, Amanah Ikhtiar Malaysia, Perbadanan Nasional Berhad, SME Corp Malaysia dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas perjumpaan bersama Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun di Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.

Ewon berkata KUSKOP turut menyediakan latihan bagi meningkatkan kemahiran dan daya saing usahawan serta koperasi di negeri ini dan sepanjang tahun lepas, 292 usahawan menerima bimbingan daripada Institut Keusahawanan Negara, manakala 123 koperasi dibantu oleh Institut Koperasi Malaysia.

Beliau berkata terdapat dua Koperasi Negeri Sembilan yang tersenarai dalam Profil 100 Koperasi Terbaik iaitu Koperasi Peserta-Peserta FELCRA Kawasan Kerangai Penagoh Negeri Sembilan Berhad (kedudukan ke-36) dan Koperasi Peserta-Peserta FELCRA Gugusan Lakai Negeri Sembilan Berhad (79).

Tambah beliau, kementeriannya akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sembilan bagi memperkasakan sektor keusahawanan dan koperasi di negeri itu melalui beberapa jawatankuasa, sekali gus memastikan mereka mendapat manfaat daripada program disediakan kerajaan.

"Ini termasuk melalui mekanisme penyelarasan yang tersedia iaitu Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional, Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan dan Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan," katanya.

-- BERNAMA