Untuk tahun ketiga berturut-turut, Lampu-lampu Ramadan dipasang di pusat bandar London sebagai sebahagian daripada sambutan Ramadan, yang dijangka bermula pada awal Mac tahun ini.
Dianjurkan oleh Yayasan Aziz, lampu bertulis "Happy Ramadan" dinyalakan di sepanjang Coventry Street oleh Datuk Bandar London, Sadiq Khan, pada Rabu malam .
Ketika berucap pada majlis itu, Khan menegaskan, London menolak semua bentuk kebencian dan menghormati kepelbagaian.
Beliau berkata, London merupakan bandar pertama di negara Barat yang memasang hiasan Ramadan, sambil menambah bahawa lampu ini menjadi antidot kepada Islamofobia, antisemitisme dan segala bentuk kebencian.
Lampu Ramadan yang terdiri daripada lebih 30,000 mentol LED akan menerangi malam London dari 5 petang hingga 5 pagi sehingga 29 Mac.
Ramadan disambut dengan berpuasa pada siang hari, solat, refleksi diri serta mengukuhkan semangat kemasyarakatan selain memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan. - BERNAMA

