Skip to main content

Malaysia

Langgar polis trafik: Warga asing positif dadah akan dituduh esok

Mohd Zamzuri berkata suspek didapati negatif terhadap alkohol namun pemeriksaan pada kenderaannya menemukan satu bungkusan mengandungi pil disyaki dadah jenis ekstasi. - Gambar Facebook Polis Trafik KL
Mohd Zamzuri berkata suspek didapati negatif terhadap alkohol namun pemeriksaan pada kenderaannya menemukan satu bungkusan mengandungi pil disyaki dadah jenis ekstasi. - Gambar Facebook Polis Trafik KL
Advertisement

KUALA LUMPUR: Lelaki warga Taiwan yang disyaki melanggar seorang anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di Jalan Tun Sambanthan, Sabtu lepas akan dituduh di Mahkamah Majistret Trafik di sini, esok.

Ketua JSPT Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata lelaki berusia 52 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Beliau berkata lelaki berkenaan turut berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, dengan siasatan berkaitan kesalahan dadah dikendalikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Advertisement

“Pertuduhan dijadualkan pada 9.30 pagi di Mahkamah Majistret Trafik Jalan Duta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 8.50 malam itu, anggota polis lelaki berusia 42 tahun itu dipercayai dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta ketika dalam perjalanan pulang selepas selesai menjalankan tugas eskot.

Advertisement

“Siasatan awal mendapati kereta dipandu suspek dalam perjalanan dari Ampang menghala Brickfields sebelum melanggar motosikal mangsa.

“Suspek dipercayai cuba melarikan diri dari lokasi kejadian, namun berjaya ditahan oleh seorang lagi anggota Unit Motoked JSPT Kuala Lumpur. Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan pada tangan dan kaki sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan,” katanya.

Mohd Zamzuri berkata suspek didapati negatif terhadap alkohol namun pemeriksaan pada kenderaannya menemukan satu bungkusan mengandungi pil disyaki dadah jenis ekstasi.

Beliau berkata saringan awal air kencing mendapati suspek positif methamphetamine, ketamin dan amphetamine.

Lelaki terbabit direman empat hari bermula Ahad lepas bagi membantu siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur di Jabatan Peguam Negara hari ini bagi mendapatkan arahan lanjut berhubung tindakan pendakwaan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement