Ringkasan AI
- Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, menjelaskan bahawa pelantikan Pegawai Khas Menteri Besar di 26 kawasan pembangkang bertujuan melancarkan tugas dan tanggungjawab pentadbiran kerajaan negeri.
- Saarani menegaskan bahawa dakwaan pembangkang mengenai pelantikan ini menjejaskan karier ADUN adalah tidak berasas, kerana pembangkang juga melakukan perkara yang sama di negeri yang mereka tadbir.
- Pelantikan Pegawai Khas Menteri Besar memastikan ada wakil kerajaan untuk dirujuk oleh agensi berkaitan, memudahkan urusan kerajaan tanpa perlu menjemput ketua bahagian.
Beliau berkata dakwaan pembangkang kononnya pelantikan itu menjejaskan karier Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan berkenaan hanya persepsi semata-mata, kerana pembangkang turut melakukan perkara sama di negeri yang ditadbir mereka.
"Kami di Perak tidak lantik penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti negeri pembangkang, kita lantik pegawai khas menteri besar supaya ada wakil kerajaan untuk agensi berkaitan dapat rujuk.
"Pejabat daerah umpamanya atau mana-mana agensi kerajaan tidak lagi pening nak menjemput wakil kerajaan kerana sudah ada wakil, takkan nak jemput ketua bahagian jika melibatkan urusan kerajaan," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Majlis Penyerahan Bantuan Kepada Penerima Program Kad Perak Sejahtera di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan dekat sini.
Saarani berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan pembangkang yang dibangkitkan oleh ADUN Kenering Husairi Ariffin yang mempersoalkan kewajaran kerajaan negeri melantik pegawai khas di semua kawasan pembangkang.
Dalam pada itu Saarani berkata Husairi sepatutnya tidak perlu bimbang kecuali wakil rakyat itu resah dengan khidmat bakti yang dicurahkan pegawai khas yang dilantik.
-- BERNAMA
