Pada majlis itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir (Dr) Lim Hock San, mengumumkan pelan strategik tiga tahun bernilai RM8 bilion yang bertujuan mengukuhkan kedudukan LBS sebagai peneraju industri pembangunan hartanah negara.
Pelan hala tuju korporat ini, yang dikenali sebagai Strategi 8 x 8, akan dilaksanakan mulai 2025 hingga 2027.
“Teras utama Strategi 8 x 8 adalah komitmen LBS untuk melancarkan rangkaian projek dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM8 bilion dalam tempoh tiga tahun berteraskan lapan fokus utama,” katanya.
Lapan fokus utama tersebut termasuk perumahan, industri dan komersial, pembangunan strategik tanah, pengejaran kecemerlangan, peningkatan keupayaan pekerja, pengalaman pelanggan, kemajuan kelestarian serta kesejahteraan komuniti.
“Di bawah rancangan pembangunan LBS, kami komited untuk membantu rakyat untuk memiliki rumah sendiri. Projek-projek ini akan merangkumi pelbagai jenis kediaman bertingkat tinggi dan bertanah yang terletak di kawasan bandar utama, terutamanya di Lembah Klang, Pahang, Johor dan Perak,” tambahnya.
![xxx](https://img.astroawani.com/2025-02/81739074281_freesize.jpg)
Antara projek yang sedang dilaksanakan ialah Centrum Iris, presint kedua dalam pembangunan Cameron Centrum di Cameron Highlands.
Projek bercampur terbesar itu bernilai GDV RM472 juta dan dijangka menarik perhatian pembeli dengan elemen moden serta sentuhan klasik Inggeris.
Tan Sri Lim turut menegaskan bahawa pembangunan ini selaras dengan matlamat LBS untuk memperkenalkan konsep kehidupan mesra alam, memandangkan Centrum Iris telah diiktiraf dengan pensijilan Silver GreenRE.
“Centrum Iris mentakrifkan semula kehidupan di tanah tinggi dengan menawarkan pelbagai tawaran komersial yang menarik,” ujarnya.
Majlis itu turut dihadiri Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Komunikasi Digital, Gobind Singh Deo; dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Mengakhiri ucapannya, Tan Sri Lim mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Semoga Tahun Ular ini membawa kemakmuran dan kejayaan yang berlipat ganda kepada semua,” katanya.
![xxx](https://img.astroawani.com/2025-02/51739074274_freesize.jpg)
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)