Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Lebih 130,000 saman dikeluarkan kepada pemandu warga asing bagi kesalahan lalu lintas

JPJ keluar 133,081 saman terhadap pemandu warga asing antara Januari hingga Ogos, termasuk lebih 21,000 kes memandu tanpa lesen sah. - Gambar hiasan/BERNAMA
JPJ keluar 133,081 saman terhadap pemandu warga asing antara Januari hingga Ogos, termasuk lebih 21,000 kes memandu tanpa lesen sah. - Gambar hiasan/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 133,081 saman dikeluarkan terhadap pemandu warga asing bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini atas pelbagai kesalahan lalu lintas, termasuk memandu tanpa lesen yang sah.

Kementerian Pengangkutan dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen memaklumkan tindakan berkenaan diambil mengikut subseksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], yang memperuntukkan hukuman denda antara RM500 hingga RM2,000 atau penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

Menurut kementerian itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah merekodkan sebanyak 21,232 kesalahan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), manakala kesalahan tiada Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL) dan Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) masing-masing mencatat 1,933 dan 85 kes.

Advertisement

“Kesalahan lain yang direkodkan termasuklah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada insurans, tiada permit masuk atau International Circulation Permit (ICP) serta kesalahan lebih muatan.

“Kementerian turut menekankan tanggungjawab pemilik kenderaan dan majikan untuk memastikan hanya individu yang mempunyai lesen memandu yang sah dibenarkan memandu kenderaan di jalan raya,” katanya bagi menjawab soalan Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) tentang kes yang direkodkan warga asing memandu kenderaan motor tanpa lesen memandu yang sah.

Advertisement

Kementerian itu turut memaklumkan bahawa warga asing termasuk pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang didapati memandu tanpa lesen sah tidak ditawarkan kompaun, sebaliknya akan didakwa di mahkamah.

“Tindakan sitaan di bawah Seksyen 64(1) Akta 333, turut dikenakan bagi pesalah lalu lintas melibatkan warga asing. Statistik JPJ merekodkan sebanyak 3,572 kenderaan disita bagi 2025, manakala sebanyak 7,445 kenderaan disita mulai Januari hingga Oktober 2026.

“Peruntukan yang sama juga melarang mana-mana pihak daripada mengambil kerja atau membenarkan seseorang yang tidak mempunyai lesen yang sah untuk memandu. Tindakan juga boleh diambil terhadap pemilik kenderaan atau majikan yang membenarkan warga asing memandu tanpa kelayakan dan dokumen yang sah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement