KUALA LUMPUR: Seramai kira-kira 50 peserta dari pelbagai NGO hari ini berhimpun bagi menyerahkan memorandum yang menuntut bekas Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad agar melepaskan semua jawatan politik dan bersara sepenuhnya, susulan terlibat dalam tangkapan khalwat baru-baru ini.
Pada masa yang sama, himpunan NGO itu turut menuntut agar pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berhenti mengelirukan rakyat dengan sering membuat dakwaan dan tuduhan berat tanpa bukti yang kukuh, sekali gus berpotensi menjadi fitnah dan hipokrasi.
Antara pertubuhan NGO yang terlibat ialah Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Anak Muda Negara (Gen.Z), Bangkit Nasional (BANGKIT), Yayasan Masih Ada Yang Sayang (MAYS) dan Pertubuhan Demi Bangsa Negara (DEMI).
Jurucakap gabungan NGO yang juga aktivis politik dari PEKEMAS, Faizan Mohd Nor berkata, himpunan tersebut bertujuan untuk memberi tekanan kepada Nik Nazmi supaya mengambil tanggungjawab serius susulan kes khalwat yang dihadapi beliau.
"Direhatkan selama tiga bulan oleh parti yang mana diterajui oleh sahabat baiknya, Rafizi adalah suatu tindakan yang sangat lemah dan memberi gambaran yang salah kepada pemimpin masa depan terutama dalam kes khalwat yang mendapat liputan begitu meluas,
"Justeru, Nik Nazmi harus berundur sepenuhnya dan kalau boleh mengajak Rafizi untuk bersara bersama kerana rekod lampau Rafizi yang penuh hipokrasi dan suka membuat dakwaan serta tuduhan tanpa kemukakan bukti," jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Faizan sebelum ini turut berjaya membawa lebih ramai individu berhimpun bagi menyuarakan desakan supaya Rafizi berundur daripada politik susulan dakwaan gagal menunaikan janji serta mengelirukan pengundi, khususnya di Pandan.
Ujar beliau, peningkatan jumlah peserta himpunan kali ini didorong oleh sokongan orang ramai yang mahu suara mereka didengari manakala peserta hadir bagi menyampaikan mesej tegas agar Rafizi tidak lagi mengelirukan rakyat dengan janji-janji.
Mengulas lanjut, Faizan berkata, politik Malaysia akan terus menjadi cacamarba selagi ada politikus seperti Nik Nazmi serta Rafizi yang hanya gemar menimbulkan kekecohan dan kekalutan, tanpa ada asas atau bukti yang kukuh untuk menyokongnya.
"Dengan terjebak dalam kes khalwat, sudah tiba masanya Nik Nazmi berundur sepenuhnya dan membawa bersama beliau Rafizi untuk bersara bersama-sama agar politik Malaysia boleh melalui proses kematangan yang lebih tinggi menuju PRU16 nanti," jelasnya.