Skip to main content

Malaysia

Lebih 6,000 tapak pembuangan sampah haram ditutup dalam tempoh tiga tahun -Nga

Lebih 6,000 tapak pembuangan sampah haram berjaya ditutup di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun lepas, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming. - Gambar hiasan
Lebih 6,000 tapak pembuangan sampah haram berjaya ditutup di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun lepas, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Lebih 6,000 tapak pembuangan sampah haram berjaya ditutup di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun lepas, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 3,600 tapak ditutup oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada tahun lepas, susulan usaha penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan pembuangan sampah secara haram.

Nga berkata, SWCorp turut diperkasakan menerusi perolehan lebih 100 motosikal pada tahun lepas bagi memudahkan operasi penguatkuasaan, khususnya di kawasan yang dijadikan lokasi pembuangan sampah haram.

Advertisement

“Pengurusan sisa pepejal merupakan satu agenda utama untuk kita pastikan negara kita sentiasa bersih supaya rakyat sejahtera. Adalah sangat penting kita nak pastikan persekitaran, alam sekitar negara kita dibela, dipertahankan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai tindakan kementerian menangani kegiatan pembuangan sampah haram, termasuk di kawasan terpencil dan tanah persendirian, serta perancangan menjadikan sisa sebagai sumber ekonomi.

Advertisement

Nga berkata, pihak yang terlibat dalam kegiatan sindiket pembuangan sampah haram boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun dan denda RM100,000 sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672].

Beliau berkata, usaha penguatkuasaan turut dipergiatkan menerusi pelaksanaan hukuman khidmat masyarakat dengan lebih 17,000 kompaun dikeluarkan setakat pagi ini, manakala lebih 2,000 individu telah diperintahkan mahkamah menjalani hukuman berkenaan.

Menjawab soalan asal Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong) mengenai strategi jangka panjang terhadap tapak pelupusan terbuka kritikal, Nga berkata, kerajaan menyasarkan pembinaan 18 loji sisa kepada tenaga (WTE) menjelang 2040 bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap tapak pelupusan sampah.

Beliau berkata, perancangan jangka panjang itu turut disokong oleh 16 stesen pemindahan sisa dan 10 tapak pelupusan sanitari, selain usaha meningkatkan kadar kitar semula kebangsaan kepada lebih 40 peratus berbanding 37.9 peratus ketika ini.

Bagaimanapun, katanya, pembinaan loji WTE perlu mengambil kira jumlah sisa harian yang dijana di sesuatu kawasan bagi memastikan teknologi berkenaan berdaya maju dari segi kewangan dan teknikal.

“Ia (loji WTE) memerlukan sisa ambang atau tipping load minimum sekitar 600 hingga 1,000 tan sehari agar ia berdaya maju dari segi kewangan dan juga teknikal,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement