PORT DICKSON: Lebih 70 peratus daripada hampir 60,000 murid Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Pra-Tahfiz di seluruh negara berjaya menguasai lebih 10 surah pendek (Juz Amma) al-Quran pada tahun lepas.


Ringkasan AI
  • Lebih 70% daripada hampir 60,000 murid Tabika Pra-Tahfiz berjaya menguasai lebih 10 surah pendek al-Quran pada tahun lepas, menunjukkan pencapaian yang membanggakan.
  • KEMAS akan memperluaskan pendidikan al-Quran dengan menubuhkan 4,000 kelas Tabika Pra-Tahfiz melibatkan 60,000 kanak-kanak di seluruh negara tahun ini.
  • KEMAS menawarkan program hafazan tambahan untuk murid yang telah menguasai lebih 20 surah, dengan sesi petang di Tabika KEMAS untuk meneruskan pembelajaran al-Quran.


Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Datuk Mohd Hanafiah Man berkata pencapaian membabitkan kanak-kanak berusia lima dan enam tahun itu merupakan perkara membanggakan sekali gus memperkasakan mereka untuk terus mencintai al-Quran.

"Lebih menarik apabila kita adakan taklimat mengenai pelaksanaan Tabika Pra-Tahfiz baru-baru ini, ada sesetengah tabika dan anak-anak taska berhampiran yang berusia tiga dan empat tahun juga mula mengikuti program itu.

"Mereka (murid tabika) masuk pada awalnya memang tiada ada asas tetapi selepas mengikuti silibus Pra-Tahfiz, Alhamdulillah (mula kuasai surah). Insya-Allah tahun ini kita akan lihat pertambahan murid kerana jumlah kelas juga bertambah," katanya kepada pemberita selepas meninjau sesi persekolahan Tabika KEMAS di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini dilaporkan berkata KEMAS akan memperluaskan pendidikan al-Quran dalam sistem pendidikan awal kanak-kanak dengan penubuhan 4,000 kelas Tabika Pra-Tahfiz melibatkan 60,000 kanak-kanak di seluruh negara tahun ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata usaha itu merupakan komitmen kerajaan dalam memastikan pendidikan al-Quran terus menjadi tunjang dalam membina generasi pewaris negara yang berakhlak, berilmu dan berdaya saing.

Dalam pada itu, Mohd Hanafiah berkata program berkenaan telah dilaksanakan secara rintis di 100 Tabika KEMAS melibatkan 1,500 kanak-kanak pada 2023 dan penyertaannya meningkat hampir 60,000 kanak-kanak pada 2024.

Beliau berkata pihaknya juga akan meneliti langkah seterusnya termasuk menawarkan ibu bapa supaya menghantar anak-anak ke program hafazan walaupun mereka telah menamatkan pengajian di tabika tersebut.

"Apabila mereka tinggalkan tabika akan terhenti daripada program ini, jadi tahun ini mana-mana yang menguasai lebih 20 surah kita tawarkan kalau ibu bapa nak hantar semula anak-anak ke Tabika KEMAS sebelah petang untuk teruskan program hafazan ini...kita juga ada program Pelita@KEMAS," katanya.

Sementara itu, beliau berkata 229,325 kanak-kanak berusia empat, lima dan enam tahun mendaftar di Tabika KEMAS seluruh negara setakat hari ini dengan 10,025 daripadanya adalah di Negeri Sembilan.

"Kita dalam pertimbangan untuk memulakan pendaftaran secara terbuka pada tahun depan. Sekarang kita ambil pendekatan siapa cepat dia dapat tapi dengan sistem terbuka nanti kita nak lihat sambutan ibu bapa dan langkah susulan KEMAS, kita harap kerajaan menyokong usaha ini," katanya.

-- BERNAMA