Skip to main content

Malaysia

Lelaki Bangladesh dituduh bunuh tiga rakan senegara

SEREMBAN, 12 Ogos -- Seorang lelaki warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan membunuh tiga rakan senegaranya di Linggi, Port Dickson, awal bulan ini.  Tiada pengakuan direkodkan daripada Md Idris Ali, 43, selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Md Idris Ali dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini. - Gambar/ Bernama
Advertisement

SEREMBAN: Seorang lelaki warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan membunuh tiga rakan senegaranya di Linggi, Port Dickson, awal bulan ini. 

Tiada pengakuan direkodkan daripada Md Idris Ali, 43, selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Md Idris didakwa membunuh seorang lelaki berusia 44 tahun di lorong belakang rumah di Taman Linggi serta dua lelaki masing-masing berusia 40-an dan 52 tahun di Ladang Sawit, Sua Manggis, Linggi antara 3.30 hingga 4.15 petang, 3 Ogos lepas.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 dan 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, dikenakan maksimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Md Idris turut didakwa di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar atas pertuduhan melakukan cubaan membunuh hingga mendatangkan kecederaan kepada seorang lagi warga Bangladesh berusia 20 tahun di dalam rumah di Taman Linggi antara 4 hingga 4.15 petang pada tarikh sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Engku Ahmad Rashdi berkata tiada jaminan ditawarkan terhadap lelaki yang sudah sembilan tahun berada di Malaysia itu manakala tertuduh pula mendakwa dia tidak memahami pertuduhan.

Sebutan semula ditetapkan esok untuk kesemua pertuduhan dibacakan semula oleh jurubahasa.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement