Ringkasan AI
- Seorang lelaki penganggur yang menghidap HIV positif sejak 13 tahun lalu ditahan kerana mencabul beberapa wanita di Bazar Ramadan Lurah Semantan.
- Video aksi lelaki tersebut tular di TikTok, menunjukkan dia dengan sengaja melanggar dan mencabul pengunjung wanita di bazar tersebut.
- Tiga wanita membuat laporan polis, dan lelaki berusia 41 tahun itu ditahan pada Rabu. Suspek memiliki lima rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah, dan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Video aksi lelaki itu tular di platform TikTok pada Selasa yang didakwa dengan sengaja melanggar pengunjung wanita di bazar tersebut sebelum mencabul mereka.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, tiga wanita tampil membuat laporan polis sebelum lelaki berusia 41 tahun itu berjaya ditahan di bazar tersebut pada Rabu.
"Tiga mangsa yang membuat laporan polis setelah klip video yang memaparkan perlakuan suspek mencabul pengunjung wanita di tapak bazar tersebut menjadi tular di TikTok.
"Mangsa pertama berusia 26 tahun melaporkan telah dicabul oleh suspek pada 6 Mac manakala mangsa kedua berusia dan ketiga, masing-masing berusia 23 dan 27 tahun pula pada Isnin lalu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ujarnya, kesemua mangsa mendakwa dicabul semasa membeli juadah berbuka apabila suspek secara kasar telah melanggar badan dengan sengaja seterusnya menyentuh dada dan punggung mereka menggunakan tangan.
Jelas Mazlan, saksi awam iaitu pemilik akaun TikTok bernama @zackrazbundle telah merakam perlakuan suspek dan memuat naik ke media sosial TikTok.
"Suspek mengakui terlibat dalam kes yang disiasat iaitu dengan sengaja melanggar badan serta menyentuh bahagian badan mangsa," tambah beliau.
Katanya, suspek memiliki lima rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan ditahan reman pada Khamis. - Sinar Harian
