Skip to main content

Malaysia

Lelaki di rumah jagaan di Tanjung Rambutan disyaki dibunuh

71770254780_mayatgeneric.jpg
Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan pada tubuh mangsa. - Gambar hiasan
Advertisement

IPOH: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kematian seorang lelaki berusia 54 tahun di sebuah rumah jagaan di Tanjung Rambutan, di sini, semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin dalam kenyataan hari ini berkata Balai Polis Tanjung Rambutan menerima maklumat daripada Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan tentang kematian seorang penghuni di rumah jagaan berkenaan pada 2 petang.

Beliau berkata sepasukan polis telah ke lokasi dan hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan pada tubuh mangsa.

β€œLima individu telah ditahan bagi membantu siasatan, terdiri daripada seorang penjaga dan empat penghuni rumah jagaan berkenaan. 

β€œPolis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta peranan setiap individu yang terlibat,” katanya.

Mohd Alwi berkata kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, selain bedah siasat akan dijalankan hari ini bagi menentukan punca sebenar kematian.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kes ini kerana boleh mengganggu siasatan.

Sementara itu, seorang jiran yang tinggal di sekitar kawasan berkenaan Amar Mat Daud, 40, ketika ditemui berkata dia tidak pernah mendengar bunyi bising atau keadaan riuh sepanjang rumah penjagaan itu beroperasi kira-kira dua tahun.

Malah, katanya, dia juga tidak pernah nampak penghuni berada di luar rumah penjagaan itu selama ini.

"Biasanya saya lalu-lalang dekat sini, okey sahaja, tiada bunyi gaduh (bunyi bising dari dalam rumah). (Kadangkala) saya beri makanan juga, itu pun di pagar rumah (yang diambil oleh penjaga)," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement