Ringkasan AI
- Polis menahan seorang lelaki bersama 40 kg bunga ganja bernilai RM3.2 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 18 Oktober lalu.
- Dalam kes berasingan, tiga individu termasuk seorang wanita warga China ditahan di Jelutong bersama pelbagai dadah bernilai kira-kira RM1.05 juta.
- Kesemua suspek kini direman dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
GEORGE TOWN: Polis menahan seorang lelaki tempatan bersama 40 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM3.2 juta yang dipercayai cuba diseludup ke London dalam serbuan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada 18 Okt lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata lelaki berusia 28 tahun dari Miri, Sarawak, itu ditahan kira-kira 5 petang ketika berada di ruang menunggu dan hasil pemeriksaan terhadap bagasi miliknya menemukan dadah berkenaan.
"Siasatan awal mendapati lelaki itu yang berperanan sebagai ‘keldai dadah’ mendakwa diarahkan oleh seorang individu untuk membawa semua dadah tersebut ke London, dan suspek dipercayai baru kali pertama terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah melalui udara rentas sempadan.
"Suspek dipercayai bertindak sebagai penghantar dengan mendapat upah RM9,000 bagi satu perjalanan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini hari ini.
Beliau berkata ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki yang merupakan penganggur itu positif dadah jenis amphetamina dan methamphetamine, manakala semakan rekod lampau mendapati mempunyai dua rekod berkaitan jenayah.
Dalam kes berasingan, Lim berkata polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita warga China dalam serbuan pada 7 malam di sebuah pangsapuri di Jelutong di sini, semalam dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM1.05 juta.
Beliau berkata polis mulanya menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun di hadapan lif pangsapuri tersebut, dan menemukan satu paket ketamin seberat 1.3 gram (g) bersamanya, sebelum menahan seorang wanita warga China berusia 40 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan memproses dan mengedar dadah di tingkat 10 pangsapuri yang sama.
"Pemeriksaan di dalam sebuah bilik menemukan tujuh kg serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA), pil eramin 5 (35 g), ketamin (20 g) dan 0.015 liter cecair syabu, selain peralatan untuk membungkus semula MDMA tersebut penimbang digital dan bahan pembungkusan," katanya.
Wanita itu dipercayai berperanan dalam kerja pembungkusan MDMA yang kemudiannya dijual kepada pelanggan yang datang mendapatkannya di apartmen tersebut, selepas mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian pengedaran dadah.
Seorang lagi lelaki tempatan berusia 44 tahun yang dipercayai datang untuk membeli dadah turut ditahan di hadapan apartmen itu.
Ujian saringan air kencing mendapati dua daripada suspek positif ketamin, manakala seorang lagi positif ganja, manakala semakan rekod lampau mendapati ketiga-tiganya mempunyai rekod berkaitan jenayah dan narkotik.
Kesemua mereka kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA